Malaysia kempunan slot tambahan ACLE

Malaysia kempunan slot tambahan ACLE

JDT kekal menjadi wakil tunggal negara yang beraksi di ACLE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Impian melihat lebih daripada satu wakil negara beraksi di Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) tidak kesampaian apabila Malaysia tidak menerima slot tambahan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi saingan musim depan.

Perkembangan itu menyaksikan slot buat Malaysia dalam pertandingan kelab AFC masih kekal seperti musim-musim terdahulu iaitu satu slot untuk saingan ACLE dan satu slot bagi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).

Ia bermakna Johor Darul Ta’zim (JDT) terus menjadi wakil tunggal negara di pentas ACLE, manakala satu slot di ACL2 pula masih menjadi rebutan antara Selangor dan Kuching City yang sedang bersaing hebat untuk gelaran naib juara Liga Super.

Pengumuman terbaharu AFC menyaksikan Arab Saudi dan Jepun mendapat enam slot iaitu tiga slot terus ke ACLE, dua slot playoff ACLE dan satu slot terus ke ACL2 diikuti Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Korea Selatan dengan lima slot (tiga slot ACLE, satu playoff ACLE dan satu ACL2).

Sementara itu, Qatar dan Thailand pula akan diperuntukkan empat slot iaitu tiga slot terus ACLE dan satu ACL2, manakala Iran dan China masing-masing menerima tiga slot iaitu dua slot terus ACLE dan satu ACL2.

Uzbekistan dan Australia meraih tiga slot termasuk satu slot terus ACLE, satu playoff ACLE dan satu ACL2, sementara Jordan dan Vietnam dengan dua slot iaitu satu slot playoff ACLE dan satu slot ACL2.

AFC memaklumkan Jawatankuasa Bolasepak Profesional badan induk itu dalam mesyuarat yang dipengerusikan Park Ji Sung, semalam meluluskan pindaan Peraturan Penyertaan Pertandingan Kelab AFC (Edisi 2025) dan Peraturan Pelesenan Kelab AFC (Edisi 2024).

Jawatankuasa itu juga bersetuju untuk menerima pakai Peraturan Penyertaan Pertandingan Kelab AFC (Edisi 2026) dan Peraturan Pelesenan Kelab AFC (Edisi 2026) yang bertujuan meningkatkan standard profesional di seluruh benua.

Peraturan Pelesenan Kelab AFC (Edisi 2024) juga dipinda, termasuk pengenalan tarikh akhir khusus baharu bagi prosedur permohonan luar biasa pelesenan kelab susulan perubahan pengagihan slot berkenaan.

“Pindaan Peraturan Penyertaan (Edisi 2025) yang akan terpakai secara eksklusif untuk musim 2026/27 merangkumi semakan terhadap pengagihan slot bagi Persatuan Ahli (MA) selaras dengan penambahan pasukan dalam ACLE daripada 24 kepada 32 kelab.

“Ia termasuk jumlah maksimum slot yang diperuntukkan kepada setiap MA, serta pengenalan slot baharu untuk naib juara Liga Cabaran AFC bagi memasuki peringkat kelayakan ACL2,” menurut kenyataan AFC.

Selain itu, AFC memaklumkan Peraturan Penyertaan (Edisi 2026) akan terpakai bermula musim 2027/28 dan seterusnya dengan kemas kini termasuk keperluan baharu dalam kriteria kelayakan terutama pelaksanaan wajib sistem video bantuan pengadil (VAR) di liga divisyen tertinggi domestik bagi MA yang menyertai pertandingan ACLE.

Badan induk itu bagaimanapun menjelaskan semua keputusan berkenaan perlu disahkan oleh Jawatankuasa Eksekutif AFC sebelum berkuat kuasa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN