Melayu ‘habis’ kalau tidak bersatu - Utusan Malaysia

Melayu ‘habis’ kalau tidak bersatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

UMNO kini melangkah ke usia 80 tahun, satu tempoh panjang yang sarat dengan sejarah, jatuh bangun serta perubahan landskap politik negara.

Sejak ditubuhkan pada 1946, parti ini menjadi tonggak penyatuan orang Melayu dan asas pembinaan negara merdeka. Namun, selepas lapan dekad, UMNO berdepan cabaran yang jauh berbeza daripada era awal penubuhannya.

Bagi Naib Presiden UMNO, DATUK SERI WAN ROSDY WAN ISMAIL, perpecahan politik Melayu, perubahan sentimen pengundi serta kemunculan pelbagai blok politik baharu menguji kekuatan dan relevansi parti ini dalam arus politik semasa.

Dalam konteks ini, beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata, timbul persoalan untuk bagaimana UMNO mengembalikan semula kepercayaan rakyat, khususnya orang Melayu, serta memperkukuh kedudukannya sebagai wadah politik yang stabil dan berpengaruh.

Berkata kepada wartawan Mingguan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, 80 tahun bukan sekadar simbol usia tetapi menjadi titik muhasabah untuk menilai semula kekuatan, hala tuju dan peranan UMNO dalam menyatukan bangsa serta memastikan kelangsungan pengaruhnya dalam politik negara.
Temu bual ini turut disertai jurufoto, FARIZ RUSADIO dan juruvideo, ZUID SAMSON.

BELUM PULIH, TAPI BERTAMBAH BAIK
MINGGUAN MALAYSIA: UMNO memasuki usia 80 tahun, bagaimana Datuk Seri melihat perjalanan panjang parti ini sejak penubuhannya pada 1946?
WAN ROSDY: Banyak liku-liku dihadapi UMNO sejak ditubuhkan. Kalau umur manusia, mungkin sudah tidak berapa cergas. Tetapi untuk UMNO, kita boleh bangkit semula dan perlu ingat UMNO adalah organisasi yang tersusun dan berstruktur.

Mungkin selepas kalah pada 2018, orang melihat seolah-olah UMNO seperti tiada harapan. Ketika itu ramai yang meletak jawatan, keluar daripada UMNO. Tetapi selepas pentadbiran tiga kerajaan sebelum ini, ramai yang ingin kembali kepada UMNO. Rindu kepada UMNO terutama sekali bila ada krisis. Sebab itu, ada ahli yang mahu kembali semula kepada UMNO. Kita menyambut dengan baik.

Adakah UMNO sudah kembali kuat sepenuhnya?
Saya nampak UMNO belum pulih sepenuhnya tetapi bertambah baik. Kita masih berusaha untuk bekerja dan berusaha meyakinkan rakyat. Insya-Allah UMNO akan kembali kuat.

Melayu hari ini dilihat berpecah kepada beberapa parti, bagaimana UMNO boleh kembali memainkan peranan seperti 1946 dalam menyatukan orang Melayu dan mengukuhkan kekuatan politik?
Dari sudut sejarah, kita melihat keadaan orang Melayu dahulu sangat berbeza. Pada 1946, ketika UMNO ditubuhkan, orang Melayu bersatu dan memberikan sokongan padu di belakang UMNO. Kesatuan ini menjadi asas kekuatan sehingga mencapai kemerdekaan dan seterusnya membangunkan negara.

Namun, situasi hari ini berbeza. Kesatuan Melayu semakin terpecah. Dahulu UMNO menjadi tunjang, tetapi kini berlaku perpecahan dengan kemunculan parti lain seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan parti serpihan lain. Perpecahan ini menjadikan kekuatan politik Melayu tidak lagi seperti dahulu.

Dalam usia UMNO yang mencecah 80 tahun, persoalannya bagaimana parti ini boleh kembali memainkan peranan seperti 1946, iaitu menyatukan orang Melayu. UMNO membuka ruang dan membina ‘rumah bangsa’, namun masih terdapat segelintir pihak yang menolak pendekatan itu, malah memberikan persepsi negatif terhadapnya.

Walaupun begitu, saya melihat UMNO sebagai parti yang masih mempunyai harapan utama untuk orang Melayu. Ini bukan kerana saya UMNO, tetapi kerana UMNO mempunyai struktur jelas, organisasi tersusun daripada peringkat cawangan, bahagian hingga ke perhimpunan agung. Ia menyediakan laluan kepimpinan yang sistematik.

Jika dibandingkan dengan parti lain, UMNO mempunyai rekod panjang. Malah ada parti yang lahir daripada UMNO sendiri dan menggunakan pendekatan hampir sama. Ini menunjukkan pengaruh dan asas kekuatan UMNO masih kuat dalam politik negara. Saya berpendapat lebih baik kita kembali kepada asas, iaitu memperkukuhkan UMNO dan menyatukan semula orang Melayu. Dengan kekuatan itu, insya-Allah kita boleh kembali membina kestabilan dan kekuatan politik seperti dahulu.

PENTINGNYA PENYATUAN MELAYU
Komen tentang kepentingan penyatuan Melayu sebagai asas kestabilan politik dan negara?
Ya, sangat penting kerana negara kita masih majmuk. Jika kita tidak bersatu, kita akan menjadi lemah.

Contohnya, apabila orang Melayu berpecah, seperti antara UMNO dan Pas, ia memberi kesan kepada kekuatan politik Melayu. Dalam konteks persepsi dan sentimen politik, ada yang melihat pendekatan tertentu sebagai eksklusif, tetapi dalam realiti pembentukan kerajaan, ia memerlukan keseimbangan dan kerjasama.

Namun, jika orang Melayu bersatu, ia menjadi kekuatan besar dan tidak mudah dipinggirkan. Sebab itu, penyatuan orang Melayu amat penting. Jika kita mahu terus mempertahankan maruah bangsa, Islam dan bahasa Melayu, orang Melayu perlu bersatu dalam kerangka yang kukuh.

RUMAH BANGSA
Adakah cadangan Rumah Bangsa penting menyatukan semua pihak?
Kita dapati selepas Rumah Bangsa dibuka, hampir 4,000 yang mendaftar untuk menjadi ahli UMNO, termasuk mereka yang bawah umur 35 tahun secara dalam talian, baru-baru ini.

Lagi pun saya dapati masyarakat dapat menilai dan mereka boleh melihat UMNO ada perjuangan jelas. Kita berpegang kepada empat perkara asas iaitu Islam sebagai agama bagi Persekutuan (Perkara 3), bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Perkara 152), institusi raja-raja Melayu (Perkara 32 & 38) dan hak istimewa orang Melayu (Perkara 153).

Namun yang menjadi pertikaian sekarang apabila kita bergabung dengan PH dan mereka memainkan isu sentimen UMDAP. Sehingga hari ini, saya tidak nampak pula ahli UMNO yang pegang bendera DAP. Pembangkang hanya memainkan isu ini untuk menanam kebencian dalam pemikiran kita untuk membenci DAP dengan pelbagai tohmahan yang mereka mainkan.

Walaupun berdepan persepsi itu, bagaimana UMNO mampu bangkit semula?
UMNO parti yang menitik beratkan kebajikan rakyat, boleh mengurus dan mentadbir dengan baik. Kalau ada yang merajuk dan keluar parti pun, mereka sudah mula rindukan UMNO. Ini kelebihan UMNO yang menyebabkan kita masih relevan hingga lapan dekad.

Apakah langkah untuk memastikan UMNO terus relevan?
Antara idea yang dibawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menubuhkan Sekolah Patriotik UMNO (SPU). Sebelum ini, kita melihat model sekolah patriotik di China untuk melihat cara mereka mendidik anak muda dengan semangat perjuangan, kita tapis dan kita buat di SPU. Alhamdulillah sekarang ini sudah batch keempat yang akan bergraduasi tidak lama lagi.

GOLONGAN MUDA
Penerimaan golongan muda terhadap UMNO ketika ini?
Golongan muda hari ini menilai parti berdasarkan harapan dan masa depan yang ditawarkan, bukan semata-mata sejarah. Ada yang mungkin kurang mengenali latar belakang parti tetapi itu bukan faktor utama.

Apa yang lebih penting bagi mereka adalah manfaat dan peluang yang boleh diperoleh jika menyokong sesuatu parti terutamanya dari segi masa depan, peluang pekerjaan dan pembangunan diri. Berdasarkan trend semasa, kita melihat golongan muda masih bersama UMNO. Ini menunjukkan mereka melihat potensi dan harapan yang ditawarkan sebagai relevan dengan keperluan mereka.

Apakah gerak kerja utama UMNO dalam usaha menarik sokongan pengundi berumur 18 tahun?
Kita menawarkan peluang kejayaan kepada mereka. Contohnya, apabila Presiden UMNO mengumumkan TVET, kita mengangkatnya sebagai satu laluan utama, bukan lagi pilihan kedua. Melalui pendekatan ini, kita menunjukkan walaupun mereka tidak memasuki IPTA, mereka masih mempunyai peluang berjaya melalui TVET.

Pendekatan ini memberi harapan kepada anak muda yang mereka mempunyai masa depan lebih jelas. Mereka melihat adanya peluang dan laluan yang boleh dimanfaatkan untuk membina kehidupan, berbanding jika tiada usaha dilakukan.

Selain itu, UMNO turut membuka ruang kepada anak muda untuk menyertai parti melalui pendaftaran dalam talian. Ini merupakan satu pendekatan baharu yang lebih mudah dan mesra generasi muda.

Pada PRU sebelum ini, gelombang hijau dilihat memberi kesan besar kepada undi Melayu. Bagaimana UMNO merancang untuk menarik semula sokongan pengundi Melayu kembali kepada parti tersebut?

Kita perlu kembali dengan bekerja kuat. Kita juga perlu menjelaskan dengan jelas tentang perjuangan parti kepada rakyat, supaya mereka memahami hala tuju sebenar UMNO.
UMNO-DAP

Bagaimana kerjasama dengan PH khususnya melibatkan DAP?
Pada peringkat permulaan, memang saya melihat keadaan agak goyah. Namun, kita perlu faham ada tuduhan daripada pembangkang yang cuba menjejaskan atau menghakimi keyakinan orang ramai. Mereka cuba menggambarkan seolah-olah kerjasama ini hanya beri ruang kepada DAP, walaupun perkara itu tidak tepat.

Kita juga harus ingat kerjasama ini berlaku kerana tiada mana-mana parti yang mampu menubuhkan kerajaan secara sendiri. Pada peringkat awal, Perikatan Nasional (PN) ditawarkan terlebih dahulu tetapi mereka menolak. Selepas itu, barulah UMNO dijemput untuk bersama, atas saranan Yang di-Pertuan Agong supaya parti-parti politik bergabung bagi membentuk kerajaan. Perkara ini bukan sesuatu yang luar biasa kerana dinamik apolitik juga berubah di banyak negara lain seperti di India.

Kita semua juga sedar jika kerajaan tidak dapat dibentuk segera, risikonya sangat tinggi, termasuk dari segi pelaburan dan kestabilan ekonomi. Keputusan yang dibuat berdasarkan kepentingan rakyat dan negara.

Adakah rakyat sudah menerima kerjasama dengan PH?
Keadaan sudah bertambah baik berbanding peringkat awal dahulu. Kita melihat pendekatan ini memberi manfaat kepada UMNO sendiri.

Jika difikirkan secara rasional, kerjasama ini menguntungkan UMNO. Kita berada dalam kedudukan untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan. Dalam konteks ini, UMNO masih memegang sejumlah kerusi yang membolehkan kita memainkan peranan dalam pentadbiran, termasuk jawatan penting dalam Kabinet.

Contohnya, Timbalan Perdana Menteri memegang portfolio besar di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), yang membolehkan dasar seperti TVET dan pelbagai program lain dilaksanakan. Banyak manfaat juga dapat disalurkan kepada rakyat luar bandar melalui dasar ini.

Jika kita berada dalam pembangkang, walaupun kita bersedia dan mempunyai kekuatan, kita tidak dapat melaksanakan dasar secara langsung. Sebab itu, apabila ditawarkan peluang untuk bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, UMNO menerimanya, tetapi bukan secara membuta tuli. Perkara ini dibawa ke Majlis Tertinggi untuk diputuskan.

Bagi saya, banyak perkara yang diperkatakan hanyalah persepsi dan sentimen, bukan sesuatu yang berlaku di peringkat dasar atau pelaksanaan.

UNDI PAS MASUK SYURGA
Adakah sentimen ini masih menjadi faktor utama dalam politik hari ini?
UMNO/BN dulu kalah pada sentimen, maka sebab itu kita perlu buat penjelasan tentang apa yang telah kita lakukan. Sentimen ini mudah, dia boleh cakap kalau undi Pas, boleh masuk syurga.

Semudah itu boleh disebut kepada rakyat.

Saya beritahu, dalam keadaan ekonomi sekarang, Pahang masih mampu memberikan duit poket kepada rakyatnya yang mengerjakan haji sebanyak RM750 seorang. Kita juga bina 44 masjid dengan nilai RM155 juta. Hampir 90 peratus masalah air di semua daerah sudah diselesaikan. Perkara ini yang akhirnya akan membantu untuk memberi kejayaan kepada UMNO/BN.

Adakah UMNO/BN gerak solo dalam pilihan raya akan datang?
Gerak solo atau tidak masih belum muktamad. UMNO masih dalam proses penambahbaikan. Banyak perkara perlu diteliti dan diperkemas. Politik hari ini juga sangat dinamik. Apa yang sesuai hari ini mungkin berubah esok. Sebab itu, kita tidak boleh membuat kesimpulan secara mutlak terlalu awal.

Ada kemungkinan untuk UMNO bekerjasama sekali lagi dalam Muafakat Nasional (MN)?

Kita tidak boleh menutup pintu sepenuhnya dalam politik. Politik ialah the art of the possible, malah kadangkala melibatkan perkara yang sebelum ini dianggap mustahil. Secara peribadi, saya sendiri tidak pernah terfikir akan bekerjasama dengan PH suatu ketika dahulu. Namun, politik bersifat progresif dan dinamik. Ada kalanya kitaperlu menyesuaikan diri dengan realiti semasa dan menerimaperubahan yang berlaku.

KESTABILAN PAHANG
Bagaimana Datuk Seri memastikan kestabilan negeri Pahang terus kekal?
Kita berada di sini kerana rakyat. Oleh itu, sejak awal lagi ketika saya Menteri Besar Pahang pada 2018, saya tekankan kepada semua ahli mesti bekerja sebagai satu masyarakat dan keluarga.

Kedua, kita perlu sentiasa melakukan engagement dengan rakyat. Sama ada suka atau tidak, kita akan sentiasa berhadapan dengan rakyat dan rakyat akan menilai prestasi kita.

Dari sudut pentadbiran negeri, apakah pendekatan diambil untuk memastikan rakyat terus terbela?

Ketika saya Menteri Besar Pahang sejak 2018, hutang kerajaan negeri sebanyak RM3.2 bilion sementara hasil kerajaan negeri hanya sekitar RM463.3 juta. Selepas lima tahun, jika keadaan masih sama, hutang kerajaan negeri pun tidak berubah, rakyat akan melihat kerajaan ini tidak berprestasi.

Kita tidak mahu perkara itu berlaku. Sebab itu, kebajikan dan engagement dengan rakyat penting kerana kita datang daripada rakyat dan rakyat akan menilai prestasi kita.

Kalau anak mereka mahu masuk universiti tetapi tidak dapat dibantu, hendak baiki surau pun tidak boleh, longkang pun tidak diselenggara, akhirnya rakyat tidak peduli lagi kepada kerajaan.

Mereka akan tidak percaya dan tidak bergantung lagi kepada kerajaan. Sudah tentu keadaan ini akan menimbulkan masalah kepada parti atau kerajaan. Kita tidak boleh buat begitu. Kita perlu cari dana, mengurangkan ketirisan dan kebocoran. Daripada sekitar RM400 juta lebih tadi, kita berjaya meningkatkan hasil lebih RM1 bilion.

Bagaimana kekalkan prestasi cemerlang berbanding negeri lain?
Kita dapat pulang modal RM1.2 bilion dan selepas tolak kos tetap, lebih kurang RM600 juta, kita ada baki sekitar RM600 juta. Mungkin RM100 juta atau RM50 juta dijadikan simpanan, selebihnya kita kembalikan kepada rakyat. Ini yang kita lakukan sehingga hari ini.

Daripada ibu yang melahirkan anak, sehinggalah kepada urusan kematian, mereka yang masuk sekolah, yang ingin berkahwin kali pertama, ibu tunggal, serta bantuan makanan semasa krisis Asia Barat. Pahang banyak membantu mereka yang tidak bernasib baik. Kita juga menyalurkan bantuan dalam bentuk keperluan asas seperti beras, gula, tepung, garam dan sebagainya.

PAHANG SASARAN PEMBANGKANG?
Dakwaan pembangkang Pahang merupakan sasaran seterusnya untuk mengambil alih pentadbiran?
Saya tidak fikir perkara itu akan berlaku dan saya menganggap itu hanyalah kenyataan politik sahaja.

Adakah model kerjasama BN-PH di Pahang boleh dijadikan model untuk dibawa ke negeri lain?
Tidak semua pendekatan sesuai di setiap negeri. Contohnya di Kelantan, mungkin kurang sesuai kerana itu setiap kawasan perlu dikaji dan diteliti dengan mendalam.

Datuk Seri antara yang agresif bekerja, ada rasa tertekan untuk pastikan Pahang sentiasa berada dalam prestasi baik?
Sama ada saya suka atau tidak, tempoh penggal akan tetap berakhir dan pilihan raya akan berlaku. Jadi dalam tempoh lima tahun ini, saya melihat tanggungjawab ini sebagai amanah untuk bekerja, bukan untuk bersikap pasif. Jika saya tidak melakukan apa-apa dalam tempoh ini, saya sendiri akan berasa malu untuk berhadapan dengan rakyat.

Pengalaman saya dahulu ketika menjadi ADUN banyak mengajar saya untuk turun padang dan bertemu rakyat secara terus. Saya juga pernah mengambil keputusan menghantar anak belajar di kawasan kecil seperti Kuala Lipis supaya saya lebih dekat dengan masyarakat setempat.

Pengalaman itu menjadi pengajaran penting. Menjelang pilihan raya, saya tidak bergantung kepada kempen besar semata-mata, sebaliknya saya terus turun bertemu rakyat. Itu pendekatan yang saya amalkan sejak dahulu.

Bagi saya, ada tekanan atau tidak, kerja tetap perlu dilakukan. Tanggungjawab kepada rakyat tidak boleh diabaikan. Sepanjang tempoh ini, saya juga sentiasa peka terhadap isu yang dibangkitkan rakyat dan buat susulan.

Sebagai contoh, apabila menerima laporan mengenai sesuatu isu, saya akan mengambil maklum dan bertindak segera. Dalam satu kes berkaitan perkhidmatan dan hasil negeri, saya menerima maklumat sebahagian pendapatan tidak diagihkan secara seimbang. Perkara ini saya bangkitkan supaya tindakan diambil lebih awal dan tidak menjejaskan rakyat.

Saya berpegang kepada prinsip wakil rakyat perlu bersikap proaktif. Jika sesuatu dasar tidak berjalan dengan baik, kita perlu bersuara dan memperbaikinya.

Dalam sistem demokrasi, rakyat ada hak untuk menukar kerajaan jika gagal, dan juga mengekalkan kerajaan jika berprestasi baik. Apa yang penting penilaian dibuat berdasarkan prestasi, bukan persepsi semata-mata. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN