Larangan jualan arak tidak sekat kebebasan - MIC Johor - Utusan Malaysia

Larangan jualan arak tidak sekat kebebasan – MIC Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Larangan jualan minuman keras di kedai runcit dan kedai serbaneka tidak menyekat kebebasan atau melanggar hak asasi bukan Islam di negara ini. 

Ketua Penerangan MIC Johor, S. Deva berkata, langkah tersebut adalah bagi menyusun semula kaedah penjualan arak termasuk samsu murahan dengan lebih efektif dan terkawal.

Katanya, perkara tersebut tidak seharusnya dipertikaikan kerana ia dibuat demi kepentingan umum secara keseluruhan. 

“Saya ingin menegaskan kepada mereka yang  bersekongkol dan berselindung di sebalik nama kebebasan ini supaya menghentikan sikap pentingkan diri. Jangan cuba mengaut untung dengan menggadai keselamatan, kesihatan dan kepentingan rakyat.

“Justeru saya membidas kenyataan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai dan Presiden Patriot, Datuk Mohamed Arshad Raji yang mendakwa larangan itu menyekat kebebasan dan melanggar hak asasi bukan Islam untuk makan dan minum produk tidak halal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Kok Wai yang juga Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan dan Mohamed Arshad mempertikaikan keputusan itu selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat keputusan muktamad tidak membenarkan kedai runcit menjual arak mulai Oktober 2021.

Deva berkata, langkah tersebut adalah rasional dan secara tidak langsung dapat mengatasi sebahagian daripada masalah sosial masyarakat serta membantu dari aspek kesihatan.

Tambah beliau, minuman keras adalah punca utama penyumbang kepada 200 jenis penyakit dan kecederaan organ antaranya strok, pendarahan usus, kerosakan janin dan kanser.  

“Di Malaysia, kes kemalangan akibat pengaruh arak mencatat 23.6 kematian bagi setiap 100,000 warga mengikut anggaran Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

“Kajian Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga menunjukkan kebanyakan remaja lelaki dan pêrempuan berusia seawal 15 tahun di negara ini sudah mula minum minuman keras dan tabiat ini sangat menular dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan remaja lepasan sekolah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya