Komik Budin punca rezeki musim Covid-19 - Utusan Malaysia

Komik Budin punca rezeki musim Covid-19

NORHASRAM Mohamad menunjukkan komik Budin yang dihasilkan sejak bermulanya PKP, Mac lalu. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Kartunis tempatan popular, Ozom menghasilkan komik bertajuk Budin selepas mendapat inspirasi melukis sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu.

Ozom atau nama sebenar­nya, Norhasram Mohamad, 53, berkata, duduk di rumah secara tidak langsung mencetuskan idea dan menggamit kenangan hidup zaman 80-an dan 90-an sebelum dilakar semula untuk dikongsi kepada pembaca.

Katanya, dia mula melukis kartun pada 1989 dengan me­nyumbang lakaran kepada semua majalah termasuk Gila-Gila, Gelihati, Batu Api dan Jenakarama sebelum bertugas sebagai kartunis Syarikat Galeri Cipta Enterprise pada 1991 hingga 1997.

“Selama 23 tahun saya tidak melukis kartun kerana sibuk dengan tugasan baharu dalam dunia kewartawanan dan penulisan berita bagi sebuah akhbar tabloid harian dalam tempoh berkenaan.

“Selepas berhenti menulis be­rita, saya menganggur seketika dan mendorong saya melakar kenangan silam pada kertas putih namun tidak tercetus idea untuk membukukan karya itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Norhasram berkata, Budin dipilih sebagai watak utama kerana pengkisahannya tersohor dalam majalah Gelagat sekitar tahun 1991 hingga 1997 yang merupakan koleksi karyanya.

Bapa kepada enam anak itu berkata, selain melukis kartun sepanjang pendemik Covid-19 melanda negara, dia turut aktif menghasilkan lukisan mural yang ditempah peminat.

Menurutnya, bagi menghi­langkan rasa bosan dia terlibat dengan kumpulan muzik tempatan No War yang turut mememuhi jemputan persembahan ke segenap negeri.

“Sekarang kerja saya hanya menjual buku komik sama ada dari tangan ke tangan atau secara dalam talian. Komik Budin tidak ada di pasaran kerana sayalah pelukis dan penjualnya. Ia dijual de­ngan harga RM15 senaskhah.

“Rugi kalau tidak baca komik ini kerana ia terkandung pence­ritaan zaman kanak-kanak dan zaman remaja era 80-an dan 90-an,” katanya.

Katanya, terlalu banyak peristiwa yang dilalui temasuk cara kehidupan dan budaya sezaman namun semakin hilang disebabkan pelbagai faktor termasuk perubahan zaman serta arus modenisasi.

“Sebelum semuanya terhapus, saya curahkan kena­ngan yang berbaki di ingatan ke dalam buku komik ini sebagai sebahagian daripada proses dokumentasi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN