Ketika negara dilanda wabak Covid-19 pada Mac lalu, kebanyakan warga pendidik sama ada di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi, sama sekali tidak menjangka apa yang bakal dilalui dalam bulan-bulan mendatang. Betapa kita gusar dengan penutupan mendadak keseluruhan institusi pendidikan sebagai langkah proaktif untuk mencegah penyebaran Covid-19. Akibatnya, seperti ayunan pendulum, pendidikan beralih wajah daripada mod fizikal ke alam maya. Dengan pantas juga universiti membina garis panduan pengajaran dan pembelajaran jarak jauh semasa kecemasan (ERTL), dan para akademik dengan segera mempersiapkan diri masing-masing dengan kemahiran mengajar dalam talian.
Dengan pantas, Google Classroom menjadi platform utama untuk pengurusan bahan pembelajaran di kebanyakan institusi pendidikan, sementara Google Forms yang hanya digunakan sebagai instrumen kaji selidik kini berubah fungsi dan kepentingannya menjadi aplikasi penilaian pembelajaran. Zoom dan Google Meet dalam sekelip mata pula menjadi aplikasi utama untuk pengajaran synchronous dan mesyuarat staf, sedangkan aplikasi-aplikasi ini secara amnya tidak dikenali warga pendidik dan pelajar sebelum munculnya Covid-19.
Everett M. Rogers (pengarang Diffusion of Innovations, 2003) pasti tersenyum melihat betapa warga pendidik mampu merangkul teknologi dengan pantasnya untuk menjadi inovator (iaitu mereka yang celik teknologi dan sering menjadi golongan pertama menggunakan teknologi baharu) dan early adopters (iaitu mereka yang berilmu tinggi dan mampu mempengaruhi keputusan pengguna teknologi lain) hanya dalam masa beberapa minggu setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
Namun, di tengah-tengah keghairahan ini, terdapat segolongan yang beliau gelar sebagai laggards, iaitu mereka yang agak ketinggalan dalam penggunaan teknologi baharu. Golongan ini sama ada lambat, ragu-ragu atau enggan mengguna pakai teknologi mengikut perubahan zaman dan keperluan masyarakat terkini. Agak malang bagi mereka kerana tuntutan dan keperluan terhadap ERTL semasa wabak Covid-19 melanda bukanlah sesuatu yang boleh dirunding. Untuk kekal relevan, golongan laggards tidak mempunyai pilihan selain mengadaptasi dan berinovasi.
Ketidakmampuan mereka untuk mengikuti arus perubahan pendidikan yang hadir secara tiba-tiba menyebabkan segelintir mengambil keputusan mengundur diri.
Bagi warga pendidik, perjuangan harus diteruskan untuk menyahut cabaran ERTL dan menjadikannya satu pengalaman yang relevan dan bermanfaat. E-pengajaran yang dijalankan perlu menyentuh hati para pelajar dan memberi makna dalam jiwa mereka dan itulah prinsip yang dipegang erat oleh para pendidik kini dan ia selari dengan pembangunan seimbang dan bersepadu yang dituntut dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan(FPK). Namun, bukan mudah untuk menghasilkan impak besar ini apabila setiap aplikasi menuntut kemahiran baharu dan setiap tugas melibatkan unsur teknikal yang tinggi.
Persoalannya, kenapa kita warga pendidik tidak cukup bersedia untuk mengajar dalam talian? Teknologi komputer dan digital bukan merupakan inovasi yang baru sahaja muncul dalam landskap pendidikan setahun sebelum Covid-19 menyerang. Ia telah pun wujud sejak 30 tahun lalu.
Sejarah evolusi teknologi komputer bermula seawal 1822 dengan ciptaan komputer pertama, ENIAC oleh Charles Babbage sehinggalah Web 2.0 dipopularkan oleh Dale pada 2004. Di Malaysia, penggunaan komputer diserapkan di sekolah-sekolah sejak akhir 1990-an melalui program Sekolah Bestari. E-pembelajaran menjadi sebahagian daripada pendidikan tinggi seawal 2006. Selain itu, dasar e-pembelajaran nasional (DePAN 2.0) dilancarkan secara rasmi pada 16 April 2011. Perjalanan e-pembelajaran dan pengajaran dalam talian di Malaysia bermula sejak sembilan tahun lalu.
KRITIKAL
Apabila difikirkan, warga pendidik mempunyai masa sekurang-kurangnya sembilan tahun untuk melengkapkan diri dengan kemahiran asas pengajaran dalam talian. Namun ketika COVID-19 melanda, ramai dalam kalangan kita langsung tidak bersedia sama sekali. Dalam persediaan menghadapi ERTL, pelbagai kursus kemahiran pengajaran dalam talian dijalankan oleh institusi pendidikan seperti penggunaan Zoom, Google Meet serta pengubahan slaid PowerPoint menjadi video dan screencast. Terlintas dalam benak saya, bukankah perkara-perkara ini merupakan kemahiran asas yang sepatutnya dimiliki oleh tenaga pengajar sebelum pandemik Covid-19 lagi?
Sesungguhnya, pandemik ini memperlihatkan pelbagai kekurangan yang berakar dalam sistem pendidikan kita. Dari visi dan perancangan hingga ke pembangunan kompetensi, akses internet yang perlahan kepada kekurangan komputer dan peralatan teknologi yang bagus, kesesuaian ruang dan persekitaran fizikal untuk kelas dalam talian, sokongan teknikal untuk latihan kakitangan hingga ke ketidakpastian pensyarah dalam bab penaksiran pembelajaran dalam talian.
Kekurangan ini bukan sahaja pelbagai, malah sangat kritikal dan menuntut kepemimpinan universiti untuk meneliti dan menyelesaikannya melalui pendekatan berwawasan dan strategi pragmatik.
Saya berpendapat, bukan semua mengenai Covid-19 itu buruk. Saya sendiri sebagai seorang pensyarah universiti dapat melihat banyak hikmah atau ‘hadiah’ yang teranugerah daripada krisis ini.
Salah satunya adalah hadiah ilmu pengetahuan dan kemahiran baharu yang diperoleh. Apabila keadaan memaksa kita untuk menguasai teknik ERTL yang berkesan, ramai celik teknologi malah lebih kreatif. Antaranya, kita belajar memanipulasikan aplikasi secara kreatif untuk menghasilkan e-portfolio yang luar biasa. Kita belajar menggunakan aplikasi Google yang pelbagai (seperti Google Docs, Slides, Jamboard) untuk memupuk kolaborasi pelajar. Dalam satu kursus reka bentuk instruksional yang saya kendalikan semasa PKP, pelajar bekerjasama dalam talian melalui Google Slaid bagi membina papan cerita untuk projek video mereka. Hasilnya sungguh mengagumkan!
Sepanjang aktiviti ERTL, banyak kolaborasi positif, pemikiran dan ekspresi kreatif serta komunikasi interaktif pelbagai hala berlaku. Inilah kemahiran yang ditekankan dalam pembelajaran abad ke-21. Di akhir perjalanan ini, kita mendapat serba sedikit gambaran rupa bentuk pendidikan abad ke-21 yang sering diperkatakan. Tanpa diduga dan tanpa sedar, kita melaluinya sepanjang ERTL.
Bagi saya, Covid-19 banyak mengajar warga pendidik seperti saya nilai pemikiran di luar kotak. Wabak ini membuka pintu yang luas untuk kreativiti dan inovasi bagi pengajaran dalam talian. Jika bukan kerana Covid-19, kita mungkin tidak akan sedar bagaimana kita mampu mencapai kreativiti tinggi sebagai seorang pendidik. Kita mungkin masih lagi berada dalam zon selesa tanpa mahu merubah cara pengajaran yang banyak berbentuk didaktik, seperti mana kita diajar berdekad lalu.
Ironinya, Covid-19 membuka jalan untuk kita terokai kaedah pengajaran dan pembelajaran alternatif yang jauh berbeza daripada kebiasaan kita. Dari sudut positif hadirnya coronavirus, inilah masa untuk perubahan, kreativiti dan inovasi dalam pengajaran.
PROFESOR MADYA DR. TUNKU BADARIAH TUNKU AHMAD ialah pensyarah di Kulliyyah Pendidikan, Uiniversiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










