BAGAN SERAI: Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak di sini yang menjadi pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir mengambil inisiatif mengadakan kelas khas untuk murid sekolah tersebut yang ditempatkan di situ.
Guru Besar SK Changkat Lobak, Hidayat Azimah Suhaimi, 43, berkata, kelas itu diadakan sejak PPS berkenaan dibuka Ahad lalu.
Beliau berkata, sesi pembelajaran diadakan sejam sehari yang dihadiri 18 murid sekolah itu.
“Murid yang menghadiri kelas ini terdiri daripada prasekolah sehingga tahun enam yang diadakan di kantin dan pusat sumber sekolah.
“Mereka ini adalah murid yang sepatutnya mengikuti pembelajaran secara dalam talian disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Pihak sekolah mengambil inisiatif mengadakan kelas ini disebabkan tidak semua murid mempunyai gajet selain capaian internet yang lemah di kawasan ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, beliau sendiri memantau perjalanan kelas bagi memastikan murid dapat meneruskan pembelajaran.
“Pembelajaran seumpama ini diteruskan selagi PPS ini dibuka.
“Dengan cara ini ia dapat memastikan murid tidak ketinggalan dalam pelajaran mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE