'Kacang Warrior' jana pendapatan empat angka di usia remaja - Utusan Malaysia

‘Kacang Warrior’ jana pendapatan empat angka di usia remaja

ABDUL Hadi Abd. Hamid meraih pendapatan empat angka hasil menjual pelbagai jenis kacang walaupun masih bergelar pelajar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Usianya baharu sahaja menjangkau 16 tahun namun siapa sangka seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al Mashoor (Lelaki), di sini bergelar usahawan dengan pendapatan mencecah empat angka sebulan.

Dikenali sebagai ‘Kacang Warrior’ dalam kalangan rakan-rakan sejak Jun lalu,
Abdul Hadi Abd. Hamid,16, kini mampu tersenyum lebar apabila perniagaan kacang pelbagai jenis daripada jenama Wany’s Snack semakin dikenali ramai.

Abdul Hadi berkata, semuanya bermula ketika pandemik Covid-19 melanda dan dia terfikir untuk membantu menambah pendapatan keluarganya semasa musim cuti sekolah.

“Ketika cuti sekolah saya selalu melakukan kerja sambilan sebagai pembantu katering namun disebabkan pandemik ini, tiada pekerjaan sambilan ditawarkan.

“Guru kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) saya, Nurul Hidayah Taupeack Kamal, 33, mengajak jual kacang secara sambilan untuk menambah pendapatan keluarga,” katanya di sini semalam.

Abdul Hadi yang merupakan anak sulung daripada empat beradik berkata, dia bermula dengan keuntungan sekitar RM5 sehari hasil jualan kacang di sekitar Balik Pulau dan kepada rakan-rakan di sekolah.

Semasa awal berniaga iaitu pada Jun lalu, katanya, dia hanya mengumpul keuntungan sekitar RM80 dan mula diberi peluang menjadi ejen jualan kacang tersebut.

“Selepas menjadi ejen dan bergelar ‘Kacang Warrior’, hasil jualan pelbagai jenis kacang saya pada bulan-bulan seterusnya bertambah sehingga mampu meraih pendapatan empat angka,” katanya.

Tambahnya, dia bersyukur kerana ibunya, Safinas Ismail, 39, menyokong usahanya dan turut menjual kacang berkenaan di tempat kerjanya di sebuah kilang di Bayan Lepas, dekat sini.

“Keuntungan yang diperoleh saya serahkan kepada ibu dan ayah, Abd. Hamid Ismail, 41, yang bekerja sebagai polis bantuan untuk menambah pendapatan keluarga.

“Saya juga simpan wang hasil jualan kacang di dalam tabung pendidikan untuk membiayai pengajian saya nanti,” katanya.

Remaja yang bercita-cita menjadi doktor itu berkata, selain menjual kacang kepada penduduk setempat dan rakan di sekolah, dia turut menjual kacang berkenaan di laman Facebook Adi Hadi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN