JOHOR BAHRU: Masyarakat tidak perlu panik dengan situasi zon merah di daerah ini memandangkan kebanyakan kes Covid-19 yang dilaporkan adalah daripada kluster sedia ada.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, kebanyakan kes bertumpu kepada penularan di dalam keluarga dan tempat kerja ahli keluarga mereka.
“Institusi tempat kerja yang terlibat telah diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian.
“Justeru, dijangkakan tiada penularan di dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Vidyananthan menambah, jumlah kluster aktif di negeri ini kekal sebanyak empat iaitu Kluster Meldrum (tujuh kes), Kluster Bayu (lapan kes), Kluster Kempas (54 kes) dan Kluster Rinting (10 kes) di samping tiada pertambahan kes bagi kluster aktif.
Sehingga semalam, katanya, terdapat dua kes baharu yang dilaporkan bagi negeri ini iaitu satu kes dikesan daripada saringan dalam kalangan pesakit Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) manakala satu lagi hasil daripada saringan kontak rapat.
“Ini menjadikan kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan adalah sebanyak 921 kes dengan 21 kematian.
“Sebanyak 841 kes pulih atau 91.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, dengan 59 kes yang aktif diasingkan dan diberi rawatan di hospital,” katanya.
Berhubung sambutan perayaan Deepavali, beliau berkata, kerajaan bersetuju membenarkan penganut Hindu mengikuti sesi upacara sembahyang pada hari pertama sahaja.
Ia membabitkan di kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). – UTUSAN ONLINE