TEMERLOH: Seorang pengusaha kayu berhasrat menghadiahkan sebuah meja yang dihasilkan daripada gabungan kayu pokok medang kunyit dan teknologi resin epoksi kepada Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Pengarah Kayuma Industry, Mohamad Awik berkata, potongan kayu medang kunyit berwarna kuning diraja itu sangat cantik untuk dijadikan sebuah meja yang bervariasi, unik dan mendamaikan hati.
Katanya, cadangan menghadiahkan meja itu kepada Raja Permaisuri Agong adalah kerana Tunku Hajah Azizah Aminah adalah peminat teknologi perabot resin epoksi.
“Warna dan urat kayu medang kunyit sangat indah dan menarik, sesuai diletakkan di lokasi eksklusif kerana nilai seni yang tinggi dimiliki kayu ini.
“Kayu ini juga dianggap ‘raja dan permaisuri’ dalam industri resin epoksi kerana mendapat permintaan tinggi daripada tokoh korporat dan syarikat besar,” katanya kepada Utusan Malaysia di bengkelnya di Kampung Peragap, Kuala Krau di sini semalam.
Mohamad berkata, meja resin epoksi kayu medang kunyit dianggap produk istimewa dan dijual sekitar RM15,000 sebuah berdasarkan saiznya.
Katanya, teknologi resin epoksi bukan sahaja untuk pembuatan produk baharu tetapi bagi pemulihan perabot lama menjadi lebih indah dan bervariasi.
Dalam pada itu, beliau memberitahu turut mempunyai sebongkah ‘kayu mengandung’ daripada spesies merbau yang sedang diproses untuk dijadikan meja tetamu yang eksklusif dan mungkin satu-satunya di dunia.
“Ramai tetamu dan pelanggan kagum dengan keunikan kayu mengandung spesies merbau yang jarang ditemukan di hutan negara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










