Geng Pidot curi kabel awal pagi tumpas - Utusan Malaysia

Geng Pidot curi kabel awal pagi tumpas

Deputi Superintenden Mohd. Sabri Saad (kanan) menunjukkan kabel yang dirampas dari Geng Pidot dalam sidang akhbar di Selama di sini hari ini. - FOTO: WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT: Mengenal pasti kawasan yang mempunyai kabel pada siang hari dan mencurinya pada awal pagi sekitar pukul 2 hingga 5 pagi.

Itu modus operandi kumpulan pencuri kabel menara telekomunikasi dikenali sebagai ‘Geng Pidot’ yang bergiat aktif di daerah Larut Matang dan Selama serta daerah Kerian.

Kegiatan kumpulan itu berjaya ditumpaskan berikutan penahanan tiga individu termasuk pembeli kabel yang dicuri baru-baru ini.

Difahamkan, nama geng berkenaan diambil sempena nama ketua mereka yang dikenali sebagai Pidot. 

Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintenden Mohd. Sabri Saad berkata, kegiatan kumpulan itu ditumpaskan selepas polis menahan dua ahli kumpulan itu di Sungai Kob dan Mahang di Kedah pada 26 Oktober lalu.

Menurutnya, dua suspek berusia 20-an yang ditahan itu merupakan ahli kumpulan curi kabel yang telah ditumpaskan oleh pihak polis dua tahun lalu namun kembali aktif sejak Julai tahun ini. 

“Hasil risikan selama dua minggu, polis berjaya membuat tangkapan ke atas dua lelaki warga tempatan termasuk ketua kumpulan yang berusia 24 tahun di Sungai Kob dan Mahang, Kedah. 

“Modus operandi kumpulan ini adalah mengenal pasti kawasan yang mempunyai kabel pada waktu siang dan mencurinya pada awal pagi antara pukul 2 hingga 5 pagi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Selama di sini hari ini. 

Menurut Mohd. Sabri, kabel yang dicuri dibawa ke kebun sawit di Sedim, Kedah untuk dibakar sebelum dijual kepada pembeli besi buruk di Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang.  

Beliau berkata, seorang pembeli kabel curi di Sungai Dua yang dipercayai bersubahat dengan dua suspek itu ditahan pada hari sama, namun dua lagi ahli kumpulan itu masih diburu.

“Polis merampas sebuah kereta jenis Proton Wira yang dilaporkan dicuri di Nibong Tebal, Pulau Pinang serta peralatan mencuri kabel, tiga gulung kabel yang belum dibakar dan lima guni plastik berisi kabel tembaga yang telah dibakar,” katanya. 

Katanya, anggaran nilai barang rampasan adalah RM13,000 dan kerugian yang dialami oleh Telekom Malaysia dianggarkan kira-kira RM150,000. 

Katanya, ujian saringan air kencing ke atas ketiga-tiga mereka mendapati ketua kumpulan itu positif dadah jenis Syabu dan mempunyai rekod lampau jenayah dalam aktiviti mencuri kenderaan dan kabel. 

“Dengan tertangkapnya Geng Pidot termasuk ketuanya, polis berjaya menyelesaikan sebanyak 10 kes kecurian kabel dari Julai hingga Oktober tahun ini dan berjaya melumpuhkan sindiket curi kabel di daerah Selama dan kawasan sekitarnya,” katanya. 

Kes disiasat di bawah seksyen 431(a) dan 379(a) Kanun Keseksaan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya