Dulu RM6,000 sehari, sekarang RM100 belum tentu - Utusan Malaysia

Dulu RM6,000 sehari, sekarang RM100 belum tentu

BARANGAN tembaga antara koleksi paling banyak dimiliki Che Mat Daee di kedainya di Sungai Kechil, Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: “Saya pernah dapat hasil sampai mencecah RM6,000 sehari tetapi disebabkan pandemik Covid-19, nak dapatkan RM100 sehari pun susah dan belum tentu.”

Itu luahan seorang usahawan barangan lama dan antik, Che Mat Daee, 65, atau lebih dikenali sebagai Mat Pickers susulan kesan pandemik Covid-19 yang hampir melumpuhkan struktur ekonomi negara.

Katanya, selain jumlah pelanggan yang merosot, dia berdepan kekangan mendapatkan stok barangan baharu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lepas disusuli Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak hampir sebulan lalu.

“Ia adalah antara cabaran paling besar yang saya hadapi sepanjang 15 tahun berkecimpung dalam bidang perniagaan ini.

“Tambah memeritkan, PKPB ini berlaku ketika hujung tahun iaitu semasa musim cuaca tidak menentu khususnya hujan lebat yang menyukarkan lagi saya mencari pendapatan tambahan,” katanya di sini semalam.

Bekas anggota tentera yang bersara awal kira-kira 20 tahun itu adalah seorang penjual santan di Sungai Kechil, di sini sebelum membuka kedai menjual barangan lama di lokasi sama kerana minat mendalam terhadap koleksi antik.

Menawarkan pelbagai koleksi barangan lama dan antik yang kini hampir mencecah 10,000 jenis keseluruhannya, dia juga mengusahakan perniagaan membekalkan makanan kepada pelajar asrama di beberapa sekolah berdekatan.

Bagaimanapun, disebabkan pandemik Covid-19, Che Mat memberitahu, dia terpaksa menghentikan perniagaan tersebut buat sementara waktu sambil memikirkan alternatif baharu untuk mengharungi cabaran berkenaan.

“Sekarang, saya cuma bergantung kepada apa yang ada sahaja (barangan lama dan antik yang belum terjual) untuk meneruskan perniagaan.

“Kadangkala, ada juga pelanggan yang datang hanya untuk membeli peralatan seperti mesin gerudi yang masih elok untuk digunakan, bukannya barang lama dan antik,” katanya yang membuka kedainya hampir setiap masa untuk kemudahan pelanggan berurusan.

Menurutnya, barangan lain yang terdapat di kedainya termasuk gambar-gambar lama, tayar, tembaga, pinggan mangkuk lama, mesin pengisar ais batu, keris, kaset dan piring hitam.

“Walaupun nampak remeh, saya tidak pernah mengutip barang-barang ini di tepi jalan, sebaliknya sanggup berhabis duit mendapatkan semua barangan ini kerana minat,” katanya yang secara purata memperuntukkan sehingga lebih RM50,000 setahun untuk mendapatkan koleksi unik berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN