KEPALA BATAS: Seperti sebahagian besar bekas kakitangan Malindo Air lain, Muhammad Syukri Mat Desa, 26, pada mulanya sukar menerima hakikat khidmatnya bersama syarikat penerbangan itu berakhir.
Apatah lagi notis pemberhentian yang diterima hanya dua hari sebelum perkhidmatannya ‘ditamatkan’, 1 November lalu.
“Sebenarnya, kalau nak ikut saya dan rakan-rakan lain masih lagi pekerja Malindo Air kerana kami tidak menerima surat pemberhentian kerja daripada majikan.
“Majikan cuma mengeluarkan notis untuk kami diberikan cuti yang panjang sehingga diberitahu kelak. Itu sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, dia antara 97 peratus atau 180 orang pekerja syarikat itu di Pulau Pinang yang umpama ‘digantung tidak bertali’ buat masa ini selepas menabur bakti selama hampir enam tahun di situ.
“Majikan cakap pekerja akan dikurangkan kerana Covid-19 tapi mereka tetap menjanjikan pampasan kepada kami yang terlibat.
“Mungkin hujung bulan ini, harap-haraplah,” katanya yang bertugas di bahagian perkhidmatan kargo syarikat itu di Bayan Lepas sebelum ini.
Enggan menyerah kepada nasib, Muhammad Syukri kemudian mula menjalankan perniagaan minuman seperti teh dan Milo ais secara bergerak berbekalkan sedikit wang simpanan.
“Alhamdulillah, walaupun tidak untung banyak, tapi wang hasil jualan daripada perniagaan ini banyak membantu menampung kehidupan saya sejak lebih sebulan yang lalu,” kata anak kelima daripada enam beradik itu yang kini menetap di Bertam, Kepala Batas bersama keluarganya.
Ketika ini kata Muhammad Syukri, dia hanya mahu memfokuskan perniagaannya sambil mencari pekerjaan lain.
“Tapi, dalam keadaan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) ini, saya tahu bukan mudah untuk mendapat pekerjaan lain. Jadi, berniaga adalah jalan yang terbaik,” katanya. – UTUSAN










