Daya tahan rakyat - Utusan Malaysia

Daya tahan rakyat

Ramai lepasan sekolah memilih untuk bekerja sebagai penghantar makanan sebelum menyambung pengajian ke universiti atau mendapat peluang pekerjaan lebih baik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketika ramai yang mengharap kerajaan menyalurkan bantuan menerusi pelbagai program termasuk Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), kebenaran mengeluarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lanjutan moratorium, berlainan dengan segelintir lagi rakyat yang mahu berdikari bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Mereka berusaha menceburi pelbagai bidang yang mendatangkan pendapatan dan seterusnya membolehkan menyara diri sendiri, anak-anak dan keluarga.

Kumpulan tersebut berpendapat rezeki ada di mana-mana dan yang perlu ialah berusaha dan bukan menunggu bantuan semata-mata.

Pandemik Covid-19 mengubah kehidupan bukan sahaja rakyat Malaysia malah seluruh dunia sehingga semakin ramai hilang kerja dan mengadu hidup susah.

Di SEREMBAN, seorang bekas ketua pramugari, Nur Shareen Mohd. Zaini membuat keputusan menjalankan perniagaan nasi kukus ayam berempah bersama ibu dan adiknya di Taman Lavender Heights, Senawang.

Wanita anak satu berusia 41 tahun berkenaan berkata, walaupun dia amat meminati bergelar pramugari namun selepas diberhentikan kerja Mac lalu dia perlu melakukan sesuatu untuk kelangsungan hidup.

“Saya berbincang dengan ibu kerana dia pandai memasak. Pada mulanya, saya menjual nasi ayam kunyit tetapi selepas itu kami buat keputusan untuk fokus kepada satu menu iaitu nasi kukus ayam berempah dengan membuka kedai di Taman Lavender Heights, Senawang,” kata ibu tunggal itu semasa ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Kata Nur Shareen, keputusan tersebut berbaloi, apabila perniagaannya mendapat sambutan malah gerainya mendapat jolokon ‘Nasi Kukus Pramugari’ yang semakin popular.

Di PONTIAN, anak muda Muhammad Syazwan Zainal Abidin merebut peluang mencari rezeki dengan menanam cendawan tiram kelabu yang memberikan hasil lumayan sehingga RM7,000 sebulan.

Katanya yang berusis 22 tahun, sebagai permulaan dia menanam 30,000 bongkah cendawan yang diletakkan di dalam empat bangsal dan perlu mengambil masa masa 45 hari sebelum dapat dipetik.

Menurut Muhammad Syazwan, dia mengambil masa lima bulan belajar kaedah penanaman cendawan sebelum membuka perusahaan sendiri dengan kos permulaan RM20,000 bagi membina bangsal dan menyediakan bongkah cendawan.

Di GEORGETOWN pula, tiada istilah kurang keyakinan atau halangan buat sekumpulan tiga penghantar makanan wanita yang menjadikan kerjaya itu sepenuh masa sebagai sumber pendapatan utama ketika Covid-19.

Bekas pekerja kilang di Bayan Lepas, Siti Zuraini Azmi, 33, berkata, dia bekerja sebagai penghantar makanan Food Panda sepenuh masa sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu berikutan terdapat tempahan yang tinggi.

Siti Zuraini berhenti kerja pada April lalu dan menumpukan pekerjaannya itu dan bersyukur kerana sehingga kini, kehidupannya masih baik ditengah-tengah ramai yang mengarapkan bantuan.

“Ia terbukti saya mampu terus bedikari dengan mencari rezeki sebagai penghantar makanan malah saya tidak menyesal dengan kerja saya,” kata Siti Zuraini.

Noor Iylia Zainal, 33, berkata, pendapatannya sedikit terjejas kebelakangan ini kerana semakin ramai penghantar makanan ketika ini, namun dia menganggap perkara itu sebagai cabaran dalam mencari rezeki.

“Semasa tempoh PKP Mac lalu, saya memperoleh pendapatan RM800 seminggu dalam tempoh 10 jam bekerja. Kini, jumlah tempahan berkurangan disebabkan semakin ramai `rider’.

“Setiap hari saya menerima kira-kira 30 tempahan makanan untuk dihantar pelanggan di kawasan Bayan Lepas. Pendapatan yang diperoleh juga mampu menampung kehidupan harian keluarga di Jitra, Kedah,” ujarnya.

Dalam pada itu, ibu kepada enam cahaya mata, Nor Hidayah Ismail, 35, berkata, kerjaya diceburi dua tahun lalu itu mampu menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak selain membantu suami menguruskan hal kewangan keluarga.

“Suami juga penghantar makanan dan kami nekad mencari pendapatan lebih demi meneruskan kelangsungan hidup apatah lagi ketika negara dilanda pandemik Covid-19,” jelasnya.

Di GUA MUSANG, seorang Orang Asli suku Bateq, Harun Chin, 46, turut menerima tempias apabila jualan madu berkurangan sejak Covid-19 terpaksa terus kuatkan semangat mencari rezeki.

Kata Harun, sebaik Covid-19 mula mengancam negara, hasil hutan tersebut semakin sukar dijual, kecuali madu lebah tualang.

“Saya menjual madu untuk menyara keluarga lebih 20 tahun lalu dan kini memberi tumpuan memanjat pokok untuk mencari madu tualang yang masih mendapat permintaan tinggi di pasaran berbanding madu jenis lain,” kata Harun. – UTUSAN

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN