KLUANG: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kota Tinggi di sini ditutup tujuh hari bermula semalam berikutan terdapat pengesanan kes Covid-10 membabitkan warga sekolah itu.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Shaharudin Saari berkata, sehubungan itu semua guru diarah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam talian berdasarkan kesesuaian serta keupayaan akses kepada komunikasi murid sepanjang tempoh penutupan berkenaan.
“Penutupan sekolah dibuat hingga 13 November ini juga bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi dijalankan,” katanya menerusi surat arahan kepada sekolah itu semalam.
Sebelum ini, semua 376 institusi pendidikan di kawasan zon merah di Johor Bahru diarahkan ditutup bermula 1 November sehingga 14 November lalu selepas daerah ini disahkan sebagai zon merah oleh Kementerian Kesihatan ekoran peningkatan kes positif Covid-19.
Keputusan penutupan itu juga selaras dengan perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung keputusan kerajaan untuk menutup sekolah di kawasan-kawasan yang disahkan zon merah pada 6 Oktober lalu. – UTUSAN ONLINE










