KUALA LUMPUR: Kerajaan seharusnya menyelaraskan peruntukan secara keseluruhan dalam Belanjawan 2021 berdasarkan kepada keperluan dan pembangunan di sesuatu kawasan tanpa menekankan soal kaum tertentu di negara ini.
Felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr. Oh Ei Sun berkata, jika kerajaan mengambil pendekatan seperti itu, tidak timbul soal sesuatu kaum mendapat peruntukan lebih atau kurang mengikut kelompok sesuatu bangsa tidak kira Melayu, Cina, India dan lain-lain kaum.
“Contohnya, jelas bahawa di negeri asal saya di Sabah, ada keperluan yang sangat mendesak untuk menangani wabak Covid-19 dan juga bekalan makanan justeru itu, lebih banyak sumber harus disalurkan di sana secepat mungkin.
“Oleh kerana belanjawan tersebut telah diperuntukkan mengikut komuniti yang berlainan, perbandingan seperti ini memang tidak dapat dielakkan. Jadi, untuk mengelakkan dakwaan seperti ini, pelaksanaan keseluruhan belanjawan seharusnya disesuaikan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Dalam pembentangan Belanjawan 2021, kerajaan memperuntukkan RM177 juta bagi kaum Cina untuk program pembaikan fasiliti pendidikan, rumah dan kemajuan kampung baru termasuk RM100 juta pembiayaan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) manakala kaum India menerima peruntukan RM100 juta bagi memperkasakan sosio ekonomi komuniti India.
Belanjawan tersebut mendapat kritikan daripada bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kerana peruntukan itu 77 peratus lebih kurang daripada apa yang diperuntukkan kepada kaum Cina semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, kenyataan Guan Eng dilihat sebagai taktik kotor dan bersifat merenggangkan hubungan antara kaum.
Bagi Prof. Dr. R. Sivaperegasam Rajanthiran, adalah memadai bagi kaum Cina mendapat peruntukan sedemikian mengambil kira faktor keupayaan kendiri ekonomi kaum Cina yang mampu bertahan berbanding kaum-kaum lain di tengah-tengah wabak masih berleluasa.

“Kerajaan wajar tumpukan perhatian untuk tingkatkan sosio ekonomi bumiputera memandangkan strata ini masih ketinggalan dan pada masa sama, kaum Cina perlu berkorban sedikit untuk memberikan ruang dan peluang yang lebih selesa melalui tumpuan kerajaan untuk memperkasakan status sosioekonomi bumiputera sebagai rakyat jati negara ini,” katanya.
Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin juga bersependapat dengan kenyataan itu.
Katanya, isu perkauman seharusnya tidak timbul kerana peruntukan kepada kaum bumiputera dan pembangunan Islam adalah sebahagian daripada nilai teras yang wujud dalam konteks Perlembagaan Persekutuan dan tidak keterlaluan jika dinilai dari aspek keseluruhan belanjawan.
“Boleh dikatakan peruntukan ini menepati kehendak pelbagai pihak khusus golongan berpendapatan rendah (B40). Belanjawan juga diperinci dan diagihkan secara sama rata melalui pembahagian secara sektoral dan golongan sosial,” katanya.-UTUSAN










