Apa kesudahan nasib pengusaha bas pelancongan - Utusan Malaysia

Apa kesudahan nasib pengusaha bas pelancongan

WAKIL GAPP Bas Malaysia, Mohamed Nazim Mohamed Nasay (kiri) menyerahkan surat kepada Ahmad Zahid Hamidi bagi memohon bantuan menyelesaikan masalah pengusaha bas yang terkesan akibat Covid-19 di Ibu Pejabat UMNO, Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Gesaan agensi dan pengusaha bas pelancongan kepada kerajaan untuk membantu mereka yang sedang berdepan bebanan hutang seolah-olah dipandang sepi.

Presiden Pertubuhan Gemilang Agensi Pelancongan dan Pe­ngusaha Bas Malaysia (GAPP Bas Malaysia), Abdul Aziz Ismail Gani berkata, lebih 100 laporan polis dibuat di seluruh negara terhadap lima kementerian berkaitan tetapi tidak ada satu pun kertas siasatan dibuka.

Malah katanya, tiada mana-mana pihak daripada kementerian berkenaan mengambil pendekatan bertemu mereka walaupun sekadar mendengar keluhan masalah yang ditanggung.

“Semalam kami ada bertemu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk membantu masalah kami. Beliau berjanji membahaskan isu ini di Dewan Rakyat Khamis ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Pada 9 November lalu, akhbar ini melaporkan sebanyak 10,000 agensi bas pelancongan dan pengusaha bas Malaysia berdepan bebanan hutang kira-kira RM3 bilion ekoran gagal menyelesaikan pinjaman.

Sejak Mac hingga Oktober lalu, rata-rata pengusaha bas gagal menyelesaikan bayaran bulanan kerana tidak diberikan moratorium.

Mereka mendakwa, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Perge­rakan (PKP) bermula Mac lalu, semua bas tidak beroperasi namun pada masa sama mereka perlu menjelaskan bayaran pinjaman penuh kepada syarikat kredit.

Justeru, pihak persatuan membuat laporan polis terhadap Jabatan Perdana Menteri (JPM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Pelancongan Malaysia; Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggunaan.

Abdul Aziz berkata, pihak­nya kesal kerana kerajaan tidak membantu dan seolah-olah meminggirkan pengusaha bas sedangkan bank memberi morotarium kepada pinjaman kenderaan lain.

Beliau menjelaskan, walaupun bantuan segera kerajaan tidak dapat dilaksanakan, pihaknya berharap sekurang-kurangnya institusi kewangan diarahkan untuk menangguhkan dahulu bayaran pinjaman semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.

“Kami ada menghubungi kementerian terlibat, namun diberitahu mereka tidak dapat berbuat apa-apa selagi tidak ada arahan daripada Pejabat Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN