Anggota Imigresen ada rekod curi kereta - Utusan Malaysia

Anggota Imigresen ada rekod curi kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kuala Lumpur: Bukan setakat terlibat dalam aktiviti pelacuran dan pemerdagangan manusia malah giat melakukan kegiatan sindiket curi kenderaan.

Lebih mengejutkan, salah seorang anggota Jabatan Imigresen gred KP19 yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini kerana disyaki
menyalahguna cap keluar masuk warga asing turut dipercayai mempunyai rekod jenayah curi kenderaan sebelum menyertai Imigresen.

Sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, anggota Imigresen berkenaan dipercayai antara saki baki ahli kumpulan curi kereta ‘Geng Sekichan’ yang pernah ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2014.

Suspek juga aktif dalam sindiket pelacuran bagi warga Vietnam dan China yang beroperasi di Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

“Dalam pada itu, salah seorang ejen yang ditahan termasuk dalam senarai orang yang dikehendaki PDRM,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, sumber berkata, SPRM menahan dua lagi kakitangan Imigresen gred KP19 berhubung kes sama.

Penahanan itu sekali gus menjadikan jumlah tangkapan menerusi Op Selat meningkat kepada 56 orang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, dua tahanan itu direman di Mahkamah Shah Alam lima hari bermula semalam.

Pada masa sama, menurutnya, seramai 17 anggota jabatan penguatkuasaan itu dan lapan ejen disambung reman selama tujuh hari.

“Seramai sembilan pegawai Imigresen dan empat ejen disambung reman selama lima hari oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru bermula esok,” katanya di sini.

Kata sumber, SPRM sedang mengesan tiga individu bagi membantu siasatan kes rasuah berkenaan.

Ujarnya, kesemua mereka dipercayai ahli sindiket pelacuran yang bergiat aktif di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Lelaki pertama, Clement Chen Wei Chien, 35, mempunyai alamat terakhir di 12A, Jalan Mandarina Second Enclave, 56000 Cheras, Kuala Lumpur dan No. 20 Canary Residensi, Jalan CH 5B, Taman Cheras, Hartamas Batu 9, 43200 Cheras, Selangor.

Sementara itu lelaki kedua, Ong Bok Hay, 66, mempunyai tiga alamat terakhir iaitu di A-11-3 Villa Angsana Condo 56 Jalan Krian Off Jalan Ipoh, 51100 Kuala Lumpur; A-16-3A, One Sentul Condominium, Jalan Sentul Ria 1, 51000 Kuala Lumpur dan No. 10, USJ 3/4F Subang Jaya, 47600 Subang Jaya, Selangor.

Dalam pada itu, SPRM turut mengesan seorang wanita, Ho Lei Kiow, 47, yang mempunyai alamat terakhir di No 76, Jalan Bukit Flora 3, Taman Bukit Flora, 83000 Batu Pahat, Johor.

Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga individu ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Penolong Penguasa Amirul Ikhwan Selamat di talian 016-509 8947. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN