Deepavali unik keluarga Ho Chu - Utusan Malaysia

Deepavali unik keluarga Ho Chu

LEE Ho Chu, 67, (dua dari kanan) bersama ahli keluarganya termasuk anak saudaranya, Lee Say Tea, 21, (tiga dari kanan) ketika merayakan Deepavali di Kampung Baru Langkap dekat sini hari ini. - GAMBAR AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Dilahirkan hasil perkahwinan campur di antara ibunya yang berketurunan India manakala mendiang bapanya berketurunan Cina, seorang lelaki, Lee Ho Chu, 67, meraikan perayaan Deepavali dalam suasana unik dan muhibbah bersama ahli keluarganya.

Ho Chu, yang beragama Hindu berkata, hasil perkahwinan campur ibu bapanya, ada ahli keluarganya yang berketurunan Cina yang bersama-sama memeriahkan perayaan Deepavali hari ini.

Menurutnya, antaranya ialah anak saudaranya, Lee Say Tea, 21, yang beragama Buddha tidak lupa mengunjunginya hari ini.

“Saya seronok apabila dapat menyambut Deepavali dalam suasana yang unik dan muhibbah kerana ahli keluarga saya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

“Walaupun berbeza agama dan keturunan,  namun kami saudara sekeluarga dan mempunyai pertalian darah. Inilah uniknya keluarga saya,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Langkap dekat sini hari ini.

Menurutnya, ibunya, Khrisnama, 92,  berkahwin dengan bapanya, Lee Say Tea yang sudah meninggal dunia.

Katanya, perkahwinan campur sudah menjadi perkara biasa dalam keluarganya kerana seorang emak saudaranya, iaitu kakak emaknya berkahwin dengan seorang lelaki Melayu.

Katanya, apabila dapat berkumpul beramai-ramai dengan sanak saudara, ia merupakan satu kegembiraan.

“Apabila berkumpul beramai-ramai, kami bercakap dalam pelbagai bahasa, Cina, Tamil dan bahasa Melayu.

“Ini menjadikan pertalian keluarga kami semakin erat walaupun berlainan kaum dan agama,” katanya.

Menurutnya, memandangkan ahli keluarga dan sanak saudaranya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, mereka akan bersama-sama menyambut semua perayaan utama iaitu Hari Raya Puasa dan Tahun Baharu Cina.

“Apa yang menariknya, kami bukan setakat dapat menikmati juadah setiap kaum tetapi masing-masing sudah tahu apa makanan yang boleh dan yang tidak boleh dimakan oleh ahli keluarga, berdasarkan agama mereka.

“Kami hormat agama mereka, tiada masalah dalam apa juga perkara kerana kami saudara mara dan saling menghormati,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN