BEIJING: Tentera China pada Rabu memaklumkan mengusir sebuah kapal tentera laut Belanda yang didakwa ‘menceroboh secara haram’ kawasan sekitar Kepulauan Paracel di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian.
Beijing menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan walaupun keputusan tribunal antarabangsa pada 2016 menolak tuntutan tersebut, sekali gus mencetuskan ketegangan dengan negara-negara jiran di rantau itu.
Menurut kenyataan Komando Medan Selatan tentera China, frigat tentera laut Belanda, De Ruyter, berulang kali melancarkan helikopter kapal untuk ‘menceroboh ruang udara China’,
Tentera China berkata, mereka mengambil langkah seperti memberi amaran lisan dan melakukan ‘gangguan elektronik’ bagi memaksa kapal itu beredar.
“Tindakan pihak Belanda melanggar secara serius kedaulatan wilayah serta keselamatan maritim dan udara China, selain mencabuli undang-undang antarabangsa dan norma asas hubungan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
China turut menyatakan ia ‘tegas menentang’ tindakan tersebut dan memberi amaran kepada Belanda supaya segera menghentikan tindakan yang disifatkan sebagai provokatif.
Amerika Syarikat (AS), India, Jepun dan Australia pada Selasa bersama-sama menyuarakan kebimbangan mengenai Laut China Selatan dan Laut China Timur serta memberi amaran terhadap sebarang tindakan agresif.
Tanpa menamakan Beijing secara langsung, menteri-menteri luar negara terbabit mengkritik ‘manuver berbahaya oleh pesawat tentera’ serta tindakan merempuh dan menyekat di Laut China Selatan.- AFP










