TUMPAT: Serik dengan rumah sering dinaiki air, sepasang suami isteri dari Kampung Bendang Pak Yong di sini nekad mengikat perut lima tahun demi mengumpul wang bagi membina sebuah rumah yang bebas dinaiki air.
Berkat kesabaran menabung, Mohd. Hafiezol Hanafi, 40, seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah dan isteri, Susilawani Fauzi, 31, akhirnya berjaya membina rumah idaman yang siap sepenuhnya September lalu.
Rumah tersebut dibina di atas tapak rumah lama, namun dengan reka bentuk bebas banjir iaitu mempunyai ketinggian 2.4 meter dari atas tanah.
“Kami terpaksa mengikat perut dan berjimat untuk mengumpul wang, termasuk meminjam daripada adik beradik bagi menyiapkan rumah baharu dengan kos RM70,000.
“Kami mula membina rumah pada April tahun lalu dengan mengupah tukang dalam kalangan penduduk kampung. Cara itu lebih jimat,” kata Susilawani ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Susilawani berkata, musim tengkujuh tahun ini, mereka berharap tidak lagi perlu memunggah barang dan berpindah ke pusat pemindahan sementera (PPS).
“Keluarga saya yang tinggal di kawasan sama juga tidak perlu ke PPS, lagipun bapa saya menghidap angin ahmar. Mereka boleh berpindah ke rumah saya apabila kampung dilanda banjir,” katanya.
Susilawani dalam pada itu berkata, keluarganya turut membuat persiapan lain bagi berdepan musim tengkujuh termasuk memastikan bot keluarga berada dalam keadaan sempurna apabila diperlukan.
“Paling perit banjir yang berlaku pada 2014, seluruh rumah dan semua perkakas kami rosak,” kata Susilawani.
Kampung Bendang Pak Yong di sini antara kawasan mudah ditenggelami air hingga paras pinggang setiap kali musim tengkujuh. Kawasan itu juga sering berdepan dengan fenomena ‘banjir termenung’. – UTUSAN