2,212 kesalahan barangan subsidi, nilai rampasan RM53.6 juta - Utusan Malaysia

2,212 kesalahan barangan subsidi, nilai rampasan RM53.6 juta

ANTARA tindakan penguatkuasaan KPDNHEP ketika melaksanakan operasi mengekang penyeludupan barangan bersubsidi di seluruh negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merekodkan 2,212 kes kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 sejak 2016 hingga Oktober lalu dengan nilai rampasan berjumlah RM53.6 juta.

Pengarah Penguat Kuasanya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, dalam tempoh itu, sebanyak 671 kes dengan rampasan keseluruhan bernilai RM10.4 juta daripada serahan agensi luar.

Beliau berkata, tindakan itu hasil jaringan kerjasama dengan agensi kawalan sempadan, Polis Marin, Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan lain-lain agensi penguatkuasaan.

“Tindakan tegas juga dikenakan ke atas pihak yang cuba menyeludup barang bersubsidi termasuk pembatalan lesen pemborong dan peruncit yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan.

“Malah, 14 syarikat pelesen telah dikenakan tindakan itu sejak 2017 hingga tahun lalu sekali gus menunjukkan keseriusan dalam menangani aktiviti penyelewengan di peringkat akar umbi demi menyelamatkan subsidi yang ditanggung kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Iskandar Halim berkata, di samping operasi bersepadu pelbagai agensi penguatkuasaan, tindakan ‘duo diligence’ dilaksanakan melalui pengauditan setiap rantaian pengedaran barang kawalan.

Terbaharu, katanya, tindakan pemantauan larangan penjualan petrol RON95 dan diesel di stesen minyak dekat sempadan susulan arahan dikeluarkan kerajaan pada September lalu.

“Bahagian ini turut melaksanakan pelan tindakan bagi membanteras penyeludupan barang kawalan bersubsidi di sempadan Malaysia-Thailand bermula tahun lalu,” katanya.

Isu itu, kata beliau, menjadi perhatian KPDNHEP kerana harga barang tersebut murah dan mudah diperoleh di Malaysia sekali gus meningkatkan permintaan rakyat asing di sempadan negara.

Beliau mengakui isu penyelewengan itu sukar ditangani secara holistik kerana faktor demografi dan talian persaudaraan penduduk dengan negara jiran selain banyak lorong tikus.

“Para peniaga diingatkan lebih bertanggungjawab dan bahagian ini memberi amaran bakal dikenakan hukuman berat jika mereka didapati melanggar undang-undang,” jelasnya.

Menurut beliau, individu boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun manakala syarikat terlibat boleh didenda tidak lebih RM2 juta dan maksimum RM5 juta bagi kesalahan kedua.

Orang ramai juga digalakkan menyalurkan maklumat melalui portal eaduan.kpdnhep.gov.my atau talian 03-8882 6088 atau mana-mana pejabat KPDNHEP yang berhampiran. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN