SEREMBAN: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban 3 diarahkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan membersihkan bangkai ikan di dalam kolam takungan hujan di Taman Seremban Tiga dekat sini, kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, pihaknya menerima aduan orang awam yang menemukan berpuluh-puluh ikan daripada pelbagai jenis yang mati di lokasi berkenaan.
Susulan itu, katanya, JAS negeri bersama Jabatan Perikanan negeri dan Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan menyiasat aduan tersebut.
“Hasil siasatan menunjukkan terdapat kejadian ikan mati di dalam kolam takungan kepunyaan UiTM, Seremban 3 pada 5 Oktober 2020 disebabkan kekurangan bekalan oksigen.
“Pihak UiTM, Seremban 3 telah melepaskan air dari kolam tersebut bersama ikan-ikan yang mati ke dalam alur air. Alur air ini memasuki ke Sungai Anak Air Garam dan menyebabkan sungai ini tercemar,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Sehubungan itu, Veerapan berkata, JAS telah mengarahkan pihak UiTM untuk membersihkan bangkai-bangkai ikan tersebut di lokasi.
“JAS mengarahkan UiTM Seremban 3 untuk tidak melepaskan lagi air yang tercemar dari kolam tersebut ke dalam alur air selain mengarahkan UiTM mengambil tindakan segera membersihkan ikan-ikan yang mati di Sungai Anak Air Garam.” katanya. – UTUSAN ONLINE










