Taktik Geng Samun Bank sebelum samun mangsa - Utusan Malaysia

Taktik Geng Samun Bank sebelum samun mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kumpulan penjenayah bergelar Geng Samun Bank akan mengekori individu berpakaian kemas dan berkereta mewah ke bank sebelum menyamun mangsa.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya menghidu modus operandi kumpulan itu ekoran penahanan empat warga Indonesia minggu lalu.

Menurut beliau, semua suspek termasuk seorang wanita dipercayai pengikut geng itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Melayu Majidee pada 22 Oktober lepas.

“Mereka berusia 25 hingga 51 tahun ditahan enam jam selepas menyamun seorang ahli perniagaan dengan melarikan RM242,000 pada hari tersebut.

“Mangsa rakyat China berusia 50 tahun itu disamun dua lelaki Indonesia bersenjatakan parang selepas keluar bank pada pukul 1.45 petang di Taman Nusa Bestari, Skudai,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini semalam.

Ayob Khan berkata, dalam serbuan itu polis merampas tujuh unit telefon bimbit, dua bilah parang, 12 keping nombor plat palsu dan merampas wang tunai RM26,280.

Katanya, wang tunai yang dirampas adalah baki duit yang dipindahkan ke akaun bank didaftarkan di Indonesia.

Kata Ayob Khan lagi, kumpulan penjenayah ini membabitkan warga Indonesia yang masuk secara haram ke negara ini sejak 2019.

“Pada awal tahun ini, Polis Johor menangkap enam individu termasuk ketua kumpulan Samun Bank.

“Susulan penahanan tersebut, polis berjaya menyelesaikan 12 kes yang melibatkan kerugian hampir RM2 juta,” katanya.

Beliau percaya tangkapan empat individu pada Khamis lalu adalah ahli kumpulan sama dan pihaknya akan meneruskan usaha bagi mengesan saki baki ahli kumpulan berkenaan.

“Kesemua empat suspek yang ditahan direman stujuh hari bermula Jumaat lalu bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya