RM39.75 juta untuk B40 Wilayah Persekutuan - Utusan Malaysia

RM39.75 juta untuk B40 Wilayah Persekutuan

ANNUAR Musa menunjukkan tanda isyarat bagus dalam sidang akhbar berhubung Inisiatif Wilayah Cakna 3.0 di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM39.75 juta di bawah Inisiatif Wilayah Cakna 3.0 khusus kepada golongan B40 serta miskin di Kuala Lumpur (KL) dan Putrajaya yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, bagi komuniti yang menetap di Projek Perumahan Rakyat Majlis Tindakan Ekonomi (PPR MTEN) dan Projek Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), mereka dikecualikan bayaran sewa rumah bagi tempoh tiga bulan bermula bulan ini.

Kata beliau, keseluruhan peruntukan itu berjumlah RM14.4 juta yang memberi manfaat kepada 40,000 penyewa di kawasan tersebut.

“Seramai 5,830 penjaja dan peniaga kecil berlesen di KL pula dikecualikan caj sewaan premis perniagaan milik DBKL yang melibatkan pengecualian hasil kepada DBKL berjumlah RM2.5 juta.

“Golongan itu turut diberikan pengecualian bayaran bagi pembaharuan lesen perniagaan pada November ini melibatkan 1,339 akaun dengan kos sebanyak RM330,000,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Keseluruhan perbelanjaan yang dikeluarkan oleh kementerian, DBKL, Perbadanan Putrajaya (PPJ), Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta agensi lain menerusi inisiatif itu bagi tempoh Mac sehingga 12 Oktober lalu adalah sebanyak RM108.64 juta.

Bagi inisiatif kali ini, Annuar berkata, hanya dikhususkan kepada penduduk di Wilayah Persekutuan yang terkesan dengan PKPB yang tidak melibatkan petugas barisan hadapan serta pesakit bawah siasatan (PUI) Covid-19.

Beliau berkata, pelajar sekolah daripada keluarga berpendapatan rendah di KL akan menerima baucar bantuan buku latihan sekolah bernilai RM100 daripada YWP yang boleh digunakan di koperasi sekolah masing-masing.

“Seramai 1,000 pelajar miskin di Putrajaya menerima baucar kembali ke sekolah RM100 daripada PPJ sebagai persediaan perbelanjaan barangan persekolahan tahun depan manakala seramai 350 murid tadika kelolaan PPJ dikecualikan bayaran yuran bulan ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sejumlah RM1.4 juta diperuntukkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi program bantuan kepada golongan asnaf dan berpendapatan rendah termasuk kepada masjid dan surau Jumaat di KL, Putrajaya serta Labuan.

Jelasnya, MAIWP juga menghulurkan bantuan kecemasan khas Covid-19 serta bantuan makanan dan sewa kediaman kepada mahasiswa di Universiti Awam di KL berjumlah RM12.7 juta.

“Bantuan ini melibatkan 9,179 penerima dalam kalangan mahasiswa dan pembayaran dibuat mengikut semester iaitu bagi tempoh bulan ini sehingga Mac tahun depan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN