Rakyat merempat di kaki lima Singapura - Utusan Malaysia

Rakyat merempat di kaki lima Singapura

Pekerja Malaysia di Singapura kini memilih tempat tinggal di tepi jalan kerana kos sewa di negara itu terlalu tinggi. Gambar/Facebook Gilbert Goh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jika sebelum ini kita sering mendengar kisah warga asing tidur bergelimpangan di kaki lima kerana dihimpit kos sara hidup di negara mereka namun hakikat sama juga menimpa pekerja Malaysia di Singapura.

Sejak pintu sempadan Malaysia dan Singapura ditutup ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, ribuan rakyat tempatan yang sebelum ini berulang-alik ke negara ini kini terpaksa merempat di tepi jalan.

Ini kerana mereka tidak mampu membayar sewa rumah atau bilik yang dikatakan mencecah $3,000 (RM9,000) sebulan.

Bagi yang bernasib baik, majikan menyediakan tempat tinggal atau menyewa rumah untuk pekerjanya.

Jika sebaliknya pekerja Malaysia terbabit terpaksa memilih lorong jalan kaki di sekitar kota metropolitan Singapura sebagai `rumah;’ atau “bilik’ mereka.

Perkara itu dikongsikan pemilik Facebook Eddie Diena yang tersentuh melihat situasi tersebut berbanding dirinya yang bernasib baik tinggal di sebuah bilik sewa dan mampu tidur beralaskan bantal serta tilam.

Katanya, kira-kira 15 rakyat Malaysia ditemui tidur di lorong laluan pejalan kaki kerana tidak mampu membayar sewa di republik itu.

“Sebelum ini mereka berulang-alik dari Johor Bahru ke Singapura, tetapi sejak sekatan perjalanan mereka terpaksa menetap di Singapura.

“Mereka harus cekal untuk kelangsungan hidup dan demi keluarga di Malaysia yang mungkin tidak tahu mereka hanya tidur di kaki lima,” katanya.

Cerita Eddie, sewa sebuah katil di Singapura dianggarkan $500 (RM1529.07) manakala sebuah bilik $1,200 (RM3669.76) berbanding sebuah rumah boleh mencecah $3,000.

“Bayangkan jika bekerja dengan gaji $800-1,000 (RM2,446.50-RM3,058.13), jika tolak sewa, berapa baki tinggal? Baki itu mereka hendak hantar ke kampung, guna untuk perbelajaan seharian,” katanya.

Justeru, kata Eddie, dia berdoa agar Covid-19 cepat berakhir dan sempadan Singapura-Malaysia dapat dibuka semula bagi meringgan beban kumpulan yang tidur di kaki lima.

Menerusi Facebook sama, Eddie berkongsikan beberapa gambar rakyat Malaysia tidur di tepi jalan yang dirakam seorang Pengasas Pertubuhan Kebajikan Transitioning.org, Gilbert Goh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.