ALOR SETAR: Ambil segera tindakan atau pesawah terus menanggung kerugian apabila dibekalkan dengan benih padi tidak berkualiti sehingga menghasilkan padi angin.
Keadaan ini ditanggung sebahagian pesawah di negeri ini yang kecewa apabila mendakwa mereka dibekalkan benih padi yang tidak berkualiti sehingga menyebabkan pendapatan terjejas.
Bekalan benih padi yang tidak berkualiti itu menyebabkan hasil padi yang diusahakan juga berkurangan.
Che Ani Md Zain, 66, dari Kampung Matang Mahang, Air Hitam dekat sini berkata, pengalaman mengalami benih padi tidak berkualiti masih lagi terkesan sejak mengusahakan sawah kira-kira 50 tahun lalu.
Katanya, sebelum ini dia pernah beberapa kali mendapat bekalan benih yang tidak berkualiti sehingga kawasan sawahnya ditumbuhi pokok padi angin.
“Pokok padi angin itu tumbuh berpunca daripada benih padi tidak sah yang saya peroleh. Kesannya saya terpaksa menanggung kerugian walaupun benih padi yang perolehi itu harganya mahal,” katanya di sini semalam.
Mingguan Malaysia semalam melaporkan ekoran benih padi tidak berkualiti yang dibekalkan oleh syarikat-syarikat pembekal menyebabkan hasil beras negara merosot kira-kira 300,000 tan metrik setahun dengan kerugian para pesawah pula dianggarkan mencecah sehingga RM300juta.
Mazli Md. Isa, 55, dari Kampung Padang Nyior, Kuala Nerang pula berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan perlu mengambil tindakan terhadap syarikat pengeluar dan ejen-ejen yang membekalkan padi yang tidak berkualiti kepada pesawah.
“Saya mencadangkan supaya kementerian berkenaan supaya memperbanyakkan lagi syarikat pembekal benih padi di negeri ini memandangkan pada masa ini didapati pembekalan benih padi dimonopoli oleh syarikat tertentu sahaja,” katanya.
Pesawah dari Pendang, Desa Saidin, 50, berkata, difahamkan terdapat benih padi yang dibekalkan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) juga tidak berkualiti.
“Petani di sini berharap peranan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Jabatan Pertanian supaya dapat menghasil benih padi yang lebih berkualiti untuk dibekalkan kepada pesawah,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban mendakwa, dia dimaklumkan bahawa terdapat dalam kalangan ‘individu’ di dalam kilang-kilang yang mengambil kesempatan menjual benih padi subsidi tersebut kepada ejen-ejen atau orang tengah dengan harga lebih mahal.
Katanya, apabila sampai kepada orang tengah, mereka menjual benih kepada pesawah dengan harga jauh lebih mahal sehingga mencecah RM50 hingga RM60 manakala bekalan di kilang-kilang pula berkurangan sekali gus tidak mampu menampung keperluan pesawah.
Katanya, berikutan kekurangan bekalan benih di kilang menyebabkan para pesawah tidak ada pilihan terpaksa membeli daripada orang tengah dengan harga lebih mahal.
“Sebagai contoh, ‘orang’ di dalam sesebuah kilang itu memaklumkan kepada pesawah bahawa benih tidak cukup, sedangkan ada pekerja telah ambil dan jual kepada orang lain (orang tengah) atau di kedai-kedai lain dengan harga lebih mahal. Saya melihat ada permainan sesama mereka dalam isu ini,” katanya.










