Pas boleh beri impak baharu kepada pentadbiran Sabah - Utusan Malaysia

Pas boleh beri impak baharu kepada pentadbiran Sabah

Mohamad Faisol Keling
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hasrat Pas untuk berada dalam Kabinet kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memasuki episod baharu apabila turut ditentang rakan sekutu sendiri.

Jika sebelum ini, hanya wakil rakyat DAP yang bersuara, kelmarin Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili pula dilihat tidak senang dengan hasrat berkenaan.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, persoalan mengenai ketidaksesuaian perjuangan Pas yang dilontarkan oleh beberapa ahli politik sepatutnya dilihat dalam konteks yang lebih luas.

Beliau berkata, ini kerana dengan pelantikan ke Kabinet ataupun sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik, ia sebenarnya tidak menjejaskan langsung kelebihan kerusi mana-mana parti lain atau keharmonian etnik di Sabah.

“Malah ia akan memperkukuhkan, dapat memberikan satu impak baru dalam pentadbiran dan perkembangan politik di Sabah.

“Adalah baik sekiranya Pas dilantik sebagai salah satu ADUN lantikan dalam kerajaan Sabah kerana atas tiket Perikatan Nasional (PN), malah Pas juga memiliki ahli di negeri itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, ADUN Kapayan (DAP), Jannie Lasimbang mendakwa, Pas adalah parti yang tidak terbuka terhadap kepercayaan lain dan hal itu akan menganggu keharmonian agama dan kaum.

Seolah-olah senada dengan Jannie, Maximus pula menyifatkan tiada asas untuk GRS mempertimbangkan pelantikan wakil Pas di DUN mahupun Kabinet Sabah.

Katanya, ini kerana Pas tidak bertanding dan tidak memenangi sebarang kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai tindakan PBS itu, pensyarah kanan di Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM, Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, ia tidak ubah seperti ‘kawan makan kawan’.

Kamarul Zaman Yusof

Ini kerana, Pas secara bersungguh-sungguh pernah membantu PBS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan pada Mei 2019 demi memperkukuhkan blok pembangkang ketika itu.

“Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang sepatutnya lebih utama mengulas, pun belum kata apa-apa.

“Alih-alih Presiden PBS, Maximus pula yang terkehadapan dengan menyebut, tiada asas bagi GRS untuk mempertimbangkan pelantikan ADUN dari Pas kerana Pas itu tidak bertanding dan tidak memenangi apa-apa kerusi DUN dalam pilihan raya negeri yang lalu,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN