Pandemik Covid-19 bukan alasan isytihar darurat - Utusan Malaysia

Pandemik Covid-19 bukan alasan isytihar darurat

HASSAN KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Menangani pandemik Covid-19 yang didakwa dijadikan alasan ke arah pengisytiharan darurat seperti ura-ura bakal berlaku dalam masa terdekat adalah alasan bersifat dangkal dan tidak munasabah.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, penularan Covid-19 tidak termasuk dalam tiga kategori alasan pengisytiharan darurat seperti dinyatakan dalam Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan iaitu keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam.

“Saya tidak bersetuju keputusan diambil kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan alasan untuk menangani pandemik Covid-19 malah ia bersifat dangkal dan tidak dapat meyakinkan rakyat.

“Sebenarnya mereka mahu darurat dilaksanakan supaya kerajaan PN dapat mengelak pembentangan Belanjawan pada 6 November ini dan sebelum perlu menghadapi pengundian ahli Dewan Rakyat pula pada 17 November ini.

“Sekiranya belanjawan ditolak, maka kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal meraih kepercayaan ahli Parlimen. Kesannya beliau perlu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdul Aziz, Indera Mahkota, Kuantan di Pahang semalam yang dipercayai berkaitan dengan hasrat untuk mengisytiharkan darurat.

Difahamkan, pengisytiharan itu dijangka dibuat bagi menangani penularan wabak Covid-19 yang merekodkan peningkatan kes secara mendadak sejak seminggu lalu, selain bagi meredakan ketegangan politik.

Hassan menegaskan, jika Muhyiddin sudah kehilangan sokongan ahli-ahli Parlimen, beliau sepatutnya meletak jawatan dengan segera, bukannya mengisytiharkan darurat untuk terus kekal berkuasa.

Beliau berharap Muhyiddin yang telah mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen dan Perdana Menteri umempertahankan Perlembagaan Persekutuan agar tidak tersilap langkah membawa negara ini ke ambang kediktatoran dengan mematikan suara demokrasi rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Saya berasa bimbang dengan laporan yang menyatakan Perdana Menteri yang cuba mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen digantung dan darurat diisytiharkan di seluruh Malaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya