Mengapa selepas 60 tahun? - Utusan Malaysia

Mengapa selepas 60 tahun?

KEADAAN rumah setinggan di Tanah Putih Lama di Kuantan, Pahang yang serba daif dan kekurangan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Rata-rata penduduk setinggan di Tanah Putih Lama di sini kecewa kerana setelah berpuluh-puluh tahun mereka tinggal di kawasan itu, baru kini ada pihak tampil menuntut ta­nah dan mengarahkan penduduk berpindah.

Seorang penduduk, Mohd. Ghazali Yaakub, 62, berkata, dia antara penduduk paling lama tinggal di kawasan tersebut iaitu hampir 60 tahun dan selama ini kehidupan mereka aman tanpa gangguan.

Bagaimanapun katanya, bermula hujung Jun lalu, penduduk mula menerima notis mengosongkan rumah dan selepas dirayu mereka diberi tempoh sehingga akhir tahun ini untuk berbuat demikian.

“Mana kami nak pindah? Rata-rata kami bekerja sendiri dan tidak memiliki tanah. Jika diberikan sewa rumah di Projek Perumahan Rakyat di Pak Mahat pun mana mampu bayar sewa.

“Saya cakap begitu sebab contohnya telah ada. Sebelum ini ada penduduk di sini yang berpindah ke Pak Mahat, tetapi kerana tidak mampu bayar sewa bulanan mereka akhirnya diminta keluar dan balik semula tinggal di sini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Kira-kira 40 penduduk sebelum itu menerima kunju­ngan Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) diketuai Presidennya, Datuk Firdaus Abdullah bagi mendengar dan membantu permasalahan dihadapi mereka.

Terdahulu, kira-kira lima penduduk membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bagi me­minta pihak berkuasa itu menyia­sat notis pengosongan dan merobohkan rumah yang dite­rima mereka sejak Jun lalu.

Seorang lagi penduduk, Abu Bakar Jusoh, 57, yang lebih 40 tahun tinggal di situ merayu kepada kerajaan negeri supaya memberikan tapak lot rumah kepada mereka.

“Kami boleh berpindah, tetapi kami rayu kepada kerajaan negeri supaya bantu kami dengan menyediakan tapak lot rumah. Hanya tapak lot rumah kami minta, urusan bina rumah semua penduduk uruskan sendiri,” katanya.

Sementara itu, Firdaus berkata, dalam keadaan negara sedang berdepan penularan pandemik Covid-19 dan menjelangnya musim tengkujuh, tidak adil penduduk di Tanah Putih Lama diperlakukan sedemikian.

“Majoriti penduduk di sini daripada keluarga yang susah, kalau tengok rumah mereka pun sedih. Jadi, YPNM mohon kebijaksanaan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail campur tangan.

“Penduduk perlu pembelaan dan kalau boleh berilah tapak rumah untuk mereka buka rumah di sini dan pindah ke tempat baharu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN