Marah dibunyi hon, lelaki serang wanita ditahan - Utusan Malaysia

Marah dibunyi hon, lelaki serang wanita ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gara-gara marah dibunyikan hon, seorang lelaki bertindak menyerang pemandu wanita dalam kejadian di perhentian bas Mutiara Damansara, dekat sini kelmarin.

Kejadian berlaku apabila mangsa berusia 18 tahun yang merupakan penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi sedang memandu di laluan kiri di lokasi berkenaan sebelum sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dinaiki seorang lelaki yang keluar secara mengejut.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, ekoran itu, mangsa membunyikan hon terhadap kenderaan lelaki itu namun dia dipercayai mengekori wanita tersebut sehingga di Jalan Persiaran Utama.

“Lelaki itu turut menendang bumper dan menumbuk cermin bahagian pemandu kenderaan wanita itu selain cuba membuka pintu kereta kerana tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa membunyikan hon.

“Malah, lelaki itu menendang sekali lagi bahagian belakang kenderaan mangsa semasa mahu beredar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nik Ezanee berkata, susulan itu mangsa membuat laporan polis pada pukul 7 petang, hari kejadian.

Jelasnya, bertindak atas maklumat itu, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun di tepi Jalan Penchala dekat sini yang disyaki terbabit dalam kejadian itu, semalam.

“Suspek kemudian dibebaskan dengan jaminan polis dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN