KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa mempertimbang bantuan kewangan tambahan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40) yang semakin terbeban terutama di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, pakej rangsangan ekonomi seperti program jana semula ekonomi negara (Penjana) terbukti berjaya meringankan beban rakyat di samping menjamin aliran tunai perniagaan namun berakhir di tengah-tengah penularan pandemik yang semakin membimbangkan.
“Saya kira pakej ini perlu dilanjutkan terutama untuk pemain industri kecil dan sederhana (PKS) demi mengekalkan pekerja serta mengelakkan peningkatan kadar pengangguran.
“Selain itu, gelombang ketiga Covid-19 kini dijangka melambatkan pemulihan ekonomi negara hingga ke suku pertama tahun depan. Justeru, saya berharap kerajaan meningkatkan usaha memulihkan ekonomi dengan hala tuju ekonomi yang jelas dan dinamik,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian dengan merujuk kepada laporan baharu ekonomi 2020-2021 oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) yang menurunkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar tahun 2020 kepada -5.5 peratus.
Katanya, penurunan unjuran itu berdasarkan kepada penurunan besar kadar pertumbuhan ekonomi dalam suku kedua pada -17.1 peratus, lonjakan semula kes jangkitan Covid-19 dan pelaksanaan kembali PKPB serta tiada langkah mitigasi tambahan kerajaan pada suku sebelumnya, terutamanya bagi PKS.
Beliau berkata, kerajaan perlu mempertimbang pembentukan sistem amaran berperingkat yang lengkap dan konsisten sebagai pengganti pengumuman pengubahsuaian prosedur operasi standard (SOP) pada saat terakhir kerana keyakinan perniagaan dan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan bergantung besar kepada konsistensi serta kejelasan polisi sedia ada.
“Sistem amaran berperingkat seperti yang dijalankan di beberapa negara lain memaparkan perbezaan tahap kecemasan dalam krisis Covid-19 berasaskan nombor pembiakan virus dan jumlah kes disahkan.
“Setiap peringkat amaran ini mempunyai protokol dan sekatan tetap serta tidak diubah suai sewenang-wenangnya, terutama dari segi SOP di tempat kerja.
“Protokol yang ditetapkan juga mestilah melalui proses rundingan dengan pihak berkepentingan dengan mengambil kira keseimbangan antara kelestarian perniagaan dan kesihatan pekerja,” katanya.
Dalam pada itu, kata beliau, kerajaan tidak boleh melengahkan masa dengan persoalan pertumbuhan ekonomi kerana Vietnam dijangka memintas negara ini pada 2020 untuk menjadi ekonomi keempat terbesar di Asia Tenggara, di samping menjadi antara negara yang terbaik di rantau ini dalam sektor pelaburan.
“Usaha mesti digiatkan untuk mempercepat penetapan semua dan pertumbuhan ekonomi dengan membenarkan demokrasi berfungsi, pelaburan terpilih diberikan insentif khas, sempadan dibuka dengan protokol kesihatan yang ketat dan syarat melakukan perniagaan di permudahkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










