Langkah sumbang pembangkang - Utusan Malaysia

Langkah sumbang pembangkang

Anwar Ibrahim bercakap kepada wartawan selepas memberi keterangan kepada polis berhubung senarai nama ahli Parlimen yang menyokongnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIADA siapa boleh menafikan, pada peringkat awal Covid-19 mengancam negara, kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya menguruskan keadaan dengan begitu baik. Hingga kini pun, Malaysia diiktiraf dunia sebagai antara yang terbaik dalam mengendalikan krisis ini.

Namun kebelakangan ini, menyusuli sidang akhbar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kononnya berjaya mengumpul majoriti untuk menurunkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dari kerusi Perdana Menteri, tiba-tiba muncul dakwaan kononnya kerajaan gagal menguruskan situasi.

Ini disusuli dakwaan bertali arus oleh ahli-ahli politik pembangkang lain. Bagi memperkuatkan tuntutan Anwar, tuduhan konon kerajaan yang ada pada hari ini tidak mendapat mandat untuk memerintah, dikumandangkan semula. Ini semata-mata tuduhan oleh kumpulan yang boleh diistilahkan sebagai ‘gila talak.’

Dalam sistem demokrasi berparlimen yang beracuankan Westminster, apabila pengundi membuat keputusan semasa pilihan raya, mandat sepenuhnya berada dalam tangan individu yang menang.

Ia akan kekal dalam tangan ahli Parlimen hinggalah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah beri perkenan untuk Parlimen dibubarkan sama ada setelah cukup tempoh penggal pilihan raya mahupun tidak.

Kita imbau apa yang berlaku pada penghujung Februari lalu dan sebelumnya. Pembangkang jangan buat-buat lupa bahawa pergolakan politik pada ketika itu tercetus dalam pakatan mereka sendiri.

Ketika itu, Anwar ghairah menuntut apa yang dikatakan sebagai janji Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepadanya selepas tempoh dua tahun menerusi perjanjian yang dikatakan dibuat sejurus selepas pakatan mereka menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

BERCELARU

Dr. Mahathir pula keberatan hendak menyerahkan kerusi nombor satu itu kepada bekas timbalan yang pernah dipecatnya.

Dalam Pakatan Harapan (PH) sendiri, keadaan menjadi begitu bercelaru apabila DAP yang sekejap berpihak kepada Anwar, mendesak Dr. Mahathir segera letak jawatan. Namun, apabila melihat Anwar gagal, DAP pantas beralih sokongan kepada Dr. Mahathir pula.

Pada masa itu, paling terkehadapan mempertahankan Dr. Mahathir ialah Pas. Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berulang kali bertemu Dr. Mahathir dan membuat kenyataan menyokong beliau kekal sebagai Perdana Menteri hingga tempoh penggal berakhir.

PH ketika itu bukan sekadar menjadi punca kejatuhan kerajaan mereka sendiri, malah langsung tidak peduli keadaan rakyat yang kelam kabut menghadapi ancaman Covid-19. Mereka ghairah bermain politik hingga keadaan hidup rakyat yang sedang galau langsung tidak diendahkan.

Mujur keadaan diselamatkan daripada menjadi lebih buruk apabila Muhyiddin menarik keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari PH bersama serpihan PKR diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Dengan sokongan Muafakat Nasional (Pas+UMNO), kerajaan baharu PN berjaya dibentuk.

Kebijaksanaan Seri Paduka memberi perkenan kepada Muhyiddin untuk menjadi Perdana Menteri seharusnya diterima semua pihak untuk memuktamadkan segala pertikaian mengenai keabsahan sesebuah kerajaan yang diperkenankan untuk memerintah. Mempertikaikan keabsahan kerajaan yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong adalah perbuatan yang boleh ditafsirkan sama seperti mengingkari perintah raja.

Lihatlah dalam Perlembagaan Persekutuan atau Undang Undang Tubuh Negeri yang mana pun, ayat bagi memperkenan pelantikan ketua eksekutif kerajaan: “seorang calon daripada kalangan ahli dewan yang pada hemat baginda mendapat sokongan …” atau sebarang frasa yang membawa maksud yang sama dengan itu.

MANDAT

Yang di-Pertuan Agong juga telah menemu bual semua anggota Dewan Rakyat. Di situlah termaktubnya hal mandat dalam sistem demokrasi berparlimen yang tidak wajar lagi dipertikaikan.

Apabila Muhyiddin mengambil alih teraju dan terus meletakkan isu Covid-19 sebagai keutamaan sekali gus melasanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita berjaya.

Dalam hal ekonomi dan kebajikan rakyat, pelaksanaan pakej-pakej bantuan Prihatin, Prihatin Tambahan dan Kita Prihatin ternyata amat membantu rakyat dalam menghadapi 1,001 kesukaran berikutan krisis kesihatan dan keselamatan ini.

Apa yang berlaku selepas itu yang memperlihatkan kehadiran semula gelombang kedua dan ketiga Covid-19, antara lain berkait dengan masalah dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP). Itu tidak boleh ditafsirkan sebagai kegagalan di pihak kerajaan semata-mata.

Apabila pembangkang yang dalam keadaan sekarang masih berdegil mahu mengambil langkah politik menuntut Muhyiddin meletak jawatan, itu sudah cukup untuk jadi bukti betapa rakusnya mereka.

Anwar terutamanya sanggup mengugut untuk menjatuhkan kerajaan melalui sidang Parlimen pada bulan depan yang mungkin akan membawa kepada pembubaran dan seterusnya PRU-15. Adakah kita semua sanggup mengambil risiko sedemikian dalam keadaan Covid-19 berleluasa sekarang?

Dalam pada itu, Anwar juga boleh dianggap telah mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong ucapan pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 pada Mei lalu supaya ahli politik tidak mengheret negara ke kancah politik tidak menentu di kala rakyat sedang berhadapan wabak Covid-19.

Ahli politik sepatutnya insaf dan prihatin dengan apa berlaku di Sabah yang hingga hari ini rakyatnya masih lagi bertarung dengan ancaman jangkitan yang semakin meningkat.

Pembangkang mencanangkan kononnya darurat kesihatan yang dicadangkan oleh kerajaan tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan raja-raja Melayu, semata-mata taktik politik Muhyiddin untuk mengelak undi tidak percaya terhadapnya di Dewan Rakyat, bulan depan.

Anwar ternyata masih tidak berpuas hati setelah beberapa ahli Parlimen UMNO yang konon bersetuju untuk menyokongnya di Dewan Rakyat berpaling tadah. Begitu yakinnya Anwar, beliau tetap percaya masih mempunyai peluang untuk menggagalkan sokongan terhadap Perdana Menteri menerusi pembentangan Bajet 2021 nanti.

Peringatan Al-Sultan Abdullah kelmarin supaya ahli politik perlu menghentikan segera politiking yang boleh menjejaskan kestabilan negara perlu dipatuhi sepenuhnya.

PENULIS ialah Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN