Kerap pindah punca Orang Asli terpinggir - Utusan Malaysia

Kerap pindah punca Orang Asli terpinggir

BAKRI Basiman menunjukkan kawasan penempatan Kampung Bahong dekat Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang, Kelantan yang dikelilingi kawasan kebun sayur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Hampir 100 penduduk Orang Asli melibatkan 23 keluarga di Kampung Bahong dekat Tanah Tinggi Lojing, di sini terpinggir daripada me­nerima kemudahan asas ekoran kerap berpindah dari satu tempat ke tempat lain.

Keputusan mengamalkan cara hidup nomad itu didorong aktiviti pembukaan kebun-kebun sayur di kawasan penempatan mereka menyebabkan golongan berkenaan terpaksa meneroka jauh ke dalam hutan untuk membina penempatan baharu.

Mereka mendakwa, pembukaan tanah menyebabkan kampung yang diduduki semakin terhimpit dan dikelilingi kebun sayur.

Seorang penduduk Orang Asli Kampung Bahong, Bakri Basiman, 43, berkata, sejak 20 tahun lalu, sudah empat kali dia bersama penduduk lain berpindah.

Katanya, Kampung Bahong itu diwujudkan lebih 30 tahun lepas oleh Orang Asli sebelum adanya kebun sayur serta kemudahan Jalan Gua Musang-Lojing.

“Diakui kini kampung kami dikelilingi kebun sayur sehingga menjejaskan kehidupan dan mata pencarian masyarakat Orang Asli.

“Kami bimbang diusir dari sini kerana kerajaan tidak mewartakan tanah kampung itu untuk penempatan kami yang kekal,” katanya di sini semalam.

Seorang lagi penduduk Orang Asli, Muhammad Izrul Raziz Mat Isa, 35, berkata, mereka sudah biasa menghidu bau busuk baja dan terdedah dengan semburan racun serangga.

Katanya, Orang Asli tidak boleh berkeras dan menghalang aktiviti pertanian yang berlaku di kawasan kampung mereka.

“Penduduk Orang Asli di Kampung Bahong masih tidak mempunyai air bersih dan terpaksa menumpang paip air yang disediakan pekebun sayur ter­babit.

“Bekalan elektrik 24 jam te­lah disediakan kerajaan tetapi bekalan air bersih belum di­salurkan sehingga menimbulkan banyak masalah dalam kehidupan kami,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim mengakui penempatan masarakat Orang Asli di Tanah Tinggi Lojing dikelilingi kebun sayur.

Katanya, sebelum ini Kampung Bahong boleh memuatkan sehingga 50 rumah tetapi kini hanya sekitar 20 buah kerana kawasan itu semakin sempit de­ngan pembukaan kebun sayur. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN