MELAKA: Sebuah syarikat katering diarahkan oleh Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) membayar semula wang pakej perkahwinan berjumlah RM15,000 dan memberikan kain alas meja majlis tersebut kepada sebuah keluarga, di sini.
Presiden Mahkamah TTPM, Abdul Rashid Daud turut memerintahkan syarikat berkenaan membayar tuntutan penuh dalam tempoh 14 hari bermula tarikh perintah dikeluarkan, semalam.
Kegagalan pihak penentang mematuhi perintah itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 117 Akta Pelindungan Pengguna (APP) 1999 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pihak penuntut iaitu sepasang suami isteri berusia 58 dan 53 tahun itu ketika ditemui selepas sesi pendengaran memberitahu, tuntutan dibuat bagi majlis perkahwinan anak lelaki mereka yang sepatutnya diadakan pada 21 Mac lalu di Senawang, Negeri Sembilan.
“Kami membayar RM21,000 pada Januari lalu, bagaimanapun pada 16 Mac kerajaan mengeluarkan arahan PKP dan saya terus maklumkan kepada pihak penentang (katerer) untuk membatalkan majlis perkahwinan tersebut.
“Mereka bagaimanapun memberikan senarai pembelian barangan yang didakwa bagi persiapan majlis perkahwinan anak saya berjumlah lebih RM16,000, namun ia tidak masuk akal kerana majlis itu berlangsung pada 21 Mac,” katanya semalam.
Penuntut itu yang enggan namanya didedahkan berkata, dia terkejut apabila pihak penentang menyatakan pembelian perasa makanan jenama terkenal sebanyak 18 kilogram yang berjumlah RM214 bagi majlis tersebut.
“Saya juga berniaga dan membuat katering secara kecil-kecilan, jadi sudah mahir dengan kos dan bahan diperlukan untuk sesebuah majlis.
“Pihak penentang juga memberitahu mereka membeli pelbagai barang masakan termasuk kentang, bawang serta rempah masakan dan mencadangkan untuk kami sekeluarga menunda tarikh majlis pada Jun, namun saya tidak bersetuju.
“Bayaran sebanyak RM21,000 itu adalah bagi jemputan 1,500 tetamu, saya bimbang makanan menjadi berlebihan dan ia satu pembaziran serta tidak setimpal,” katanya.
Jelasnya lagi, pihak penentang mendakwa menggunakan wang diberikan untuk membeli kain alas meja berwarna coklat bernilai RM2,821 bagi majlis tersebut.
Ujarnya, pihaknya percaya kain yang dibeli syarikat tersebut boleh digunakan pada majlis akan datang dan tidak sepatutnya dicaj di dalam kos persiapan majlis anak lelakinya.
“Jika benar mereka membelikan kain alas meja itu untuk majlis anak saya, jadi tidak salah saya menuntut kain tersebut daripada pihak katerer,” katanya. – UTUSAN ONLINE