Tiga PATI ditahan bawa 95 tong LPG - Utusan Malaysia

Tiga PATI ditahan bawa 95 tong LPG

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Helah licik tiga lelaki menyembunyikan 95 tong gas cecair petroleum (LPG) di bawah kain kanvas akhirnya terbongkar selepas dihidu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), di sini, kelmarin.

Seorang tekong bersama dua awak-awak berusia antara 25 hingga 29 tahun ditahan pukul 10.40 malam ketika menaiki bot jongkong pada jarak 1.1 batu nautika utara Tanjung Doris, dipercayai dalam perjalanan masuk ke daerah ini.

Pengarah APMM Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot berkenaan dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan ketika rondaan Ops Sejahtera, Ops Pluto Timur dan Ops Tiris dijalankan di kawasan sempadan perairan.

“Ketika bot terbabit ditahan, tiga lelaki berada di atas bot dan terdapat barang yang ditutup menggunakan kain kanvas.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bot berkenaan membawa muatan 95 tong LPG dipercayai cuba dibawa masuk ke Tawau untuk diisi semula sebelum dibawa keluar ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan surat kebenaran membawa tong LPG daripada Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Semua suspek warga Indonesia ditahan manakala bot dan tong LPG keseluruhan bernilai RM52,000 dirampas.

“Kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah(JPDS),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×