Ulama Pas jangan setakat mengajar sahaja

Ulama Pas jangan setakat mengajar sahaja

AHMAD Yahaya ketika menyampaikan ucaptama Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat ke-64 di Maahad Darul Hadis, Alor Setar.-UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ulama Pas diingatkan agar tidak hanya sekadar mengajar dan mengeluarkan fatwa tetapi menjadi penyelesaian kepada permasalahan semasa termasuk dalam soal ekonomi dan pentadbiran Islam.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya berkata, pihaknya melalui Institut Kajian Islam dan Strategik (IKIS) dan institusi-institusi pengajian tinggi di bawah Pas perlu membentuk kumpulan pakar berstatus ‘think-tank‘ (pasukan pemikir).

Katanya, kumpulan itu boleh menawarkan solusi yang tuntas dan praktikal menurut neraca ilmu Islam mengikut bidang kepakaran masing-masing.

“Kita boleh mulakan dengan ekonomi Islam, undang-undang dan pentadbiran Islam serta Pendidikan Islam selain meneruskan Daurah Akifi mengikut ‘takhassus’ bidang akademik yang pernah bergerak aktif di musim pandemik beberapa tahun lalu. 

“Sampai bila negara umat Islam seperti Malaysia perlu terikat dengan Dasar Pandang ke Timur atau Barat, Jepun atau Korea, China atau Rusia, Britain atau Jerman dan Amerika Syarikat sedangkan kita yakin dan percaya bahawa Islam adalah penyelesaian terbaik bagi sebarang bentuk permasalahan dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat ke-64 yang dirasmikan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin di Maahad Darul Hadis, di sini hari ini.

Katanya, Dewan Ulama Pas perlu menyediakan solusi yang praktikal terhadap permasalahan rakyat berlandaskan kepada wahyu al-Quran, as-Sunnah, ljmak dan Qiyas dengan pendekatan-pendekatan yang menepati Fiqh Waqi’  dan sebagainya.

“Perbahasan-perbahasan Fiqh Siyaadah, Fiqh al-Waqi’, Fiqh al-Wahdah, Fiqh al-Maqasid, Fiqh al-Muwazanat dan Fiqh as-Siyäsah as-Syar’iyyah mesti terus dibugarkan dalam masyarakat. 

“Perbahasan dan perbincangan Fiqh yang baharu tidak seharusnya berhenti pada satu wacana mahupun program ilmiah, bahkan ia perlu sentiasa dikembangkan sehingga menyentuh aspek dasar kerajaan,” katanya.

Tambah beliau, perbahasan seperti itu perlu sentiasa diterjemah kepada suatu dasar dan polisi yang jelas dan wacana Fiqh itu menjadi hujah serta justifikasi dalam membuat sesuatu keputusan. 

Sementara itu, Ahmad menyarankan agar Dewan Ulama Pas melebarkan peranan dengan menyantuni kelompok bukan Islam termasuk persatuan-persatuan agama selain Islam agar tidak terus terkeliru dengan racun Islamofobia yang berupaya menjadi virus pemecah belah dan meruntuhkan keharmonian negara.

Ujar beliau, realiti di negeri-negeri SG4 iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu telah membuktikan keindahan golongan bukan Islam yang hidup harmoni di bawah pemerintahan Pas. 

“Inilah wajah keindahan serta keizzahan Islam dengan konsep rahmatan lil ‘alamin sebenar, Islam sebagai ad-deen yang memayungi semua warga tanpa perlu mengubah dan mengganggu identiti dan jati diri agama serta bangsa,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×