KUALA LUMPUR: Beberapa individu akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kegiatan melindungi sindiket ‘cuci duit’ yang dikaitkan dengan perniagaan golongan artis.
Difahamkan, turut akan direkod keterangan pegawai agensi keselamatan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu.
Menurut sumber, setakat ini tiada tangkapan lain selain lapan individu yang kini direman SPRM sejak Jumaat lalu dipercayai terlibat dengan kegiatan haram itu.
Ujarnya, siasatan mendapati sindiket yang mendalangi kegiatan Macau Scam, penipuan dan perjudian berkenaan dipercayai membayar sejumlah wang bagi melindungi jenayah mereka.
“Beberapa artis turut dalam pemerhatian SPRM dipercayai mempunyai kaitan dengan individu ditahan.
“Bagaimanapun, siasatan mengenai kes itu masih berjalan,” katanya di sini semalam.
Mingguan Malaysia semalam melaporkan tiga lagi ahli perniagaan direman SPRM bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram.
Kesemua suspek berusia 25 hingga 40 tahun yang menjalankan perniagaan melibatkan hartanah dan pelaburan itu direman selepas memberi keterangan di SPRM, Putrajaya di sini.
Hasil risikan mendapati SPRM turut menemukan sejumlah wang tunai RM5 juta yang disimpan dalam peti besi di kediaman seorang daripada suspek hasil aktiviti haram.
Seorang lagi individu termasuk Datuk Seri turut dipanggil namun suspek yang menjalankan perniagaan pengangkutan udara itu tidak ditahan.
Jumaat lalu, media melaporkan tiga lelaki dan dua wanita termasuk pasangan suami isteri direman bagi membantu siasatan. – UTUSAN










