Gadis lupakan tawaran IPT jaga ibu sakit saraf otak - Utusan Malaysia

Gadis lupakan tawaran IPT jaga ibu sakit saraf otak

NOR Syuhadah Aziz (kanan) memberi minuman kepada Noraini Ismail di rumah mereka di Kampung Limau Kasturi 2, Gua Musang, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang gadis menguburkan impiannya untuk menyambung pengajian kerana mahu memberi fokus menjaga ibunya yang sakit saraf otak.

Nor Syuhadah Aziz, 24, yang tinggal di Kampung Limau Kasturi 2 di sini, hanya ingin berada di sisi ibunya, Noraini Ismail, 55, yang sakit saraf otak sejak enam tahun lalu.

Pengorbannya itu menyaksikan gadis berkenaan terpaksa menolak dua tawaran melanjutkan pelajaran di universiti awam.

Nor Syuhadah berkata, dia menolak tawaran melanjutkan pelajaran di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, pada 2015 dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuala Lumpur, tiga tahun lalu.

Katanya, dia membuat keputusan itu walaupun terpaksa menggadaikan masa depan kerana tidak mempunyai pekerjaan.

“Ketika ini saya lebih pentingkan keadaan kesihatan ibu berbanding hal lain.

“Saya perlu berada di sisi dan menjaganya sepanjang hari termasuk menyuap makanan dan membersihkan badan ibu,” katanya di sini semalam.

Nor Syuhadah yang merupakan anak kelapan daripada sembilan beradik berkata, dia masih tinggal bersama bapanya, Aziz Abdullah, 59, dan seorang adik bongsu, Nur Atirah, 18, yang sedang menunggu keputusan melanjutkan pelajaran.

Katanya, dia juga mahu memudahkan urusan bapa yang bekerja sebagai penoreh getah untuk mencari rezeki bagi perbelanjaan keluarga.

“Saya tidak sanggup berpisah dan meninggalkan ibu keseorangan di rumah kerana adik-beradik lain sudah mempunyai komitmen keluarga dan kerja di Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, adik-beradik lain yang tinggal di luar Kelantan juga memberi sokongan dengan menghulurkan wang belanja dan pulang setiap hari minggu atau cuti untuk melihat keadaan ibu,” katanya.

Menceritakan keadaan ibunya, Nor Syuhadah berkata, lima tahun lalu, Noraini yang pernah menghidap penyakit skizofrenia bertindak agresif mahu terjun bangunan ketika tinggal di rumah flat kakaknya di Kuala Lumpur.

Katanya, selepas kejadian itu ibunya tmelakukan rawatan termasuk psikiatri.

“Saya tidak terfikir untuk sambung pengajian dan menganggap bukan rezeki untuk mengejar cita-cita sebagai guru.

“Saya mahu jaga ibu kerana doktor juga pernah beritahu ibu sudah tiada harapan untuk pulih dan selagi termampu, saya berbakti kepadanya hingga akhir hayat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN