Tiada lagi ternakan babi di Selangor

Tiada lagi ternakan babi di Selangor

Ternakan babi
SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima titah ucapan diraja daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada pembukaan Istiadat Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keempat DUN Selangor Ke-15 2026 di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sekali lagi menegaskan supaya tiada lagi ternakan babi di negeri ini.

Baginda bertitah, pelbagai faktor menghalang pembangunan ladang babi di negeri ini termasuklah isu tanah yang tidak mencukupi bagi ternakan tersebut selain berdekatan dengan kawasan penempatan penduduk.

“Baru-baru ini, beta menitahkan agar ternakan babi tidak diadakan di Selangor, namun demikian masih terdengar  rungutan daripada beberapa pihak yang seolah-olah tidak berpuas dan enggan mematuhi titah beta.

“Beta memberikan faktor-faktor kenapa ternakan babi tidak sesuai di negeri ini, antaranya faktor tanah yang tidak mencukupi dan ternakan diadakan di kawasan penempatan yang padat dengan umat Islam,” titah baginda pada pembukaan Istiadat Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 2026 di sini, hari ini.

Sultan Sharafuddin turut menyarankan supaya keperluan terhadap ternakan tersebut bagi masyarakat bukan Islam diselesaikan dengan mengimport daging babi dari luar terutama dari Sarawak.

“Di samping itu, isu pencemaran sungai dan udara juga menjadi faktor kenapa ternakan babi di Selangor tidak sesuai,” jelas baginda.

Minggu lalu, Utusan Malaysia melaporkan keputusan melarang pembinaan ladang babi di negeri ini selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah adalah muktamad dan tiada perancangan pembinaan pada masa hadapan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan tersebut diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) serta merta pada Februari lalu.

Dalam titah sama, baginda turut berpesan supaya kepada rakyat agar tidak sewenang-wenangnya melemparkan sebarang fitnah dan tohmahan serta berita palsu kepada mana-mana pihak terutama institusi agama Islam Selangor.

“Tindakan tidak bertanggungjawab itu boleh merosakkan nama baik institusi agama Islam dan menyebabkan hilangnya kepercayaan umat Islam terhadap institusi yang diterajui oleh beta sendiri.

“Semak dahulu kesahihan atau kebenaran sesuatu isu sebelum menyebarkannya untuk kepentingan peribadi atau pihak-pihak tertentu. Betak tidak teragak-agak untuk menitahkan pihak berkuasa agama mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab,” tegas baginda.

Sultan Selangor menambah, baginda juga menitahkan polis agar lebih peka, pantas dan bertindak segera dalam mengambil tindakan ke atas sebarang laporan dibuat melibatkan isu berkaitan agama, kaum dan institusi raja (3R). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN