MANILA: Ribuan tentera Amerika Syarikat (AS) dan Filipina, yang buat pertama kalinya disertai oleh kontingen besar pasukan Jepun, memulakan latihan ketenteraan tahunan pada Isnin dalam suasana latar belakang perang di Asia Barat.
Latihan perang itu akan menampilkan latihan tembakan langsung di utara negara yang menghadap Selat Taiwan dan di sebuah wilayah berhampiran Laut China Selatan yang dipertikaikan, di mana Filipina serta China sering terlibat dalam konfrontasi berulang.
Jurucakap tentera Filipina, Kolonel Dennis Hernandez berkata, tentera Jepun, yang menyumbang 1,400 anggota akan menggunakan peluru berpandu kruis Jenis 88 untuk menenggelamkan sebuah kapal sasaran di perairan utara Paoay.
Lebih 17,000 anggota tentera darat, udara dan laut mengambil bahagian dalam latihan Balikatan selama 19 hari kira-kira jumlah yang sama seperti tahun lalu termasuk kontingen dari Australia, New Zealand, Perancis dan Kanada.
“Balikatan, merupakan peluang untuk mempamerkan pakatan kukuh kami dengan Filipina dan menunjukkan komitmen terhadap Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka,” kata jurucakap latihan AS, Kolonel Robert Bunn menjelang majlis pembukaan pada Isnin.
Bunn menambah bahawa jumlah askar AS, disifatkannya sebagai antara penempatan terbesar dalam beberapa tahun, tidak akan terjejas oleh perang di Asia Barat yang sedang dihadapi negaranya, namun beliau enggan memberikan angka khusus.
Latihan Balikatan berlangsung ketika Iran dan AS bersama Israel, hanya tinggal beberapa hari sebelum tamatnya gencatan senjata dua minggu yang menghentikan perang di Asia Barat, dan tercetus akibat serangan mengejut Amerika-Israel ke atas Iran pada 28 Februari.
Konflik itu telah mencetuskan krisis tenaga global yang memberi kesan besar kepada Filipina yang bergantung kepada import.
Latihan ini juga diadakan ketika Beijing meningkatkan tekanan ketenteraan di sekitar Taiwan, yang dianggapnya sebahagian daripada wilayahnya dan telah mengancam untuk menggunakan kekerasan bagi merampasnya.
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos berkata pada November lalu bahawa memandangkan kedudukan negaranya berhampiran dengan pulau yang memerintah sendiri itu dan perairan sekitarnya, perang mengenai Taiwan akan menyeret Filipina, sama ada rela atau tidak, ke dalam konflik tersebut.
Pada Februari, pesawat AS, Jepun dan Filipina menjalankan rondaan di atas Selat Bashi yang memisahkan Filipina dan Taiwan bagi menguji apa yang disifatkan Manila sebagai keupayaan untuk beroperasi secara lancar bersama dalam persekitaran maritim yang kompleks.
Marcos menganggap perjanjian pertahanan bersama 1951 antara Manila dan Washington sebagai asas keselamatan negara dan telah mengukuhkan hubungan keselamatan dengan negara Barat bagi mengekang China.
Dalam tempoh dua tahun lalu, Manila telah menandatangani perjanjian penempatan tentera atau perjanjian setara dengan Jepun, New Zealand, Kanada dan Perancis, yang bertujuan memudahkan penyertaan mereka dalam latihan ketenteraan bersama di Filipina.
Bunn berkata, pasukan AS mempunyai pilihan untuk melancarkan peluru berpandu anti-kapal Tomahawk dan NMESIS, namun tidak mengesahkan sama ada ia akan digunakan. – AFP










