Dahulu lagi Nabi ajar kita SOP - Utusan Malaysia

Dahulu lagi Nabi ajar kita SOP

Nabi mengingatkan umat baginda supaya mencegah penyakit berjangkit dengan cara tidak masuk atau keluar dari kawasan jangkitan. – UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada 12 Rabiulawal sekitar 1,450 tahun dahulu, lahirlah junjungan besar Nabi Muhamad SAW, yang kemudiannya dilantik sebagai rasul memimpin umat manusia ke jalan kebenaran. Ulang tahun kelahiran ini disambut saban tahun oleh umat Islam seluruh dunia sebagai mengenang jasa dan pengorbanan baginda.

Sambutan Maulid Nabi ini juga sebagai medan untuk mengambil ibrah daripada perjuangan panjang pesuruh Allah ini membawa sinar rahmat ke seluruh alam.

Dalam konteks negara kita, Maulid Nabi lazimnya disambut dengan pelbagai acara diatur oleh kerajaan, swasta serta pelbagai pihak lain. Berbanding tahun-tahun sebelumnya, maulid tahun ini disambut dalam suasana berbeza.

Kita menyambut ulang tahun kelahiran Nabi pada tahun ini sewaktu negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19. Wabak ini menguji ke tahap tertinggi, menghimpit kita ke dinding, menjadikan kehidupan begitu sukar apabila ekonomi dan pendapatan rakyat terjejas teruk.

Ramai hilang pekerjaan, menghitung detik-detik mendatang dengan kebimbangan memuncak, terutama memikirkan apa ingin disuap ke mulut anak-anak yang menanti di rumah.

Selain memperingati kelahiran Nabi, alangkah sayugia kita mengambil ibrah daripada kepimpinan baginda untuk menangani isu besar yang negara sedang hadapi. Permasalahan dalam mengurus wabak penyakit, menangani krisis ekonomi meruncing serta menyelesaikan isu perpecahan serius yang sedang melanda masyarakat.

Dalam usaha untuk meratakan lengkungan jangkitan Covid-19 yang saban hari menunjukkan kes-kes baharu, petunjuk oleh Nabi perlu diberi perhatian serius.

Sejak 1,400 tahun dulu, pesuruh Allah ini telah mengajar prosedur operasi standard (SOP) terbaik untuk mengelak penyakit berjangkit seumpama Covid-19. Rasulullah telah memperingatkan supaya mengamalkan penjarakan fizikal melalui hadis baginda yang bermaksud: Orang-orang yang sakit janganlah mendatangi orang sihat. (Bukhari dan Muslim)
Nabi juga pernah didatangi oleh rombongan Bani Thaqif yang mana salah seorang daripada mereka menghidap penyakit berjangkit. Nabi tidak bersentuhan (bersalaman) dengan mereka, sebaliknya hanya bersabda yang membawa maksud: Sesungguhnya kami telah menerima bai’ah kamu, maka pulanglah. (Bukhari dan Muslim)

Tidak cukup itu, Nabi mengingatkan umat baginda supaya mencegah penyakit berjangkit dengan cara tidak masuk atau keluar dari kawasan jangkitan.

Nabi bersabda yang memberi makna: Apabila kamu mendengar wabak di sesuatu tempat janganlah pergi ke situ, manakala jika wabak itu berlaku di tempat kamu, janganlah keluar darinya. (Bukhari dan Muslim).

PELITUP MUKA

Sambutan maulid kali ini seharusnya meningkatkan azam kita untuk mematuhi sepenuhnya SOP yang digariskan oleh kerajaan. Saranan tersebut menepati sepenuhnya ajaran Nabi SAW.

Sama ada arahan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, arahan kuarantin serta perintah kawalan pergerakan, semuanya selari dengan petunjuk yang diajar oleh kekasih Allah itu.

Jika kita benar-benar sayang kepada Nabi, patuhilah sepenuhnya SOP yang digariskan oleh kerajaan untuk melandaikan lengkung jangkitan. Pematuhan tersebut bukan sekadar akur kepada arahan pihak berkuasa, bahkan lebih besar, iaitu sebagai tanda kecintaan yang sangat mendalam kepada baginda.

Apabila bencana pandemik melanda, paling terkesan adalah rakyat terbanyak. Ramai yang diberhentikan kerja, hilang punca pendapatan serta berdepan dengan masa depan yang gelap.

Bagi peniaga-peniaga kecil, mereka mula berhadapan masalah aliran tunai, sukar untuk meneruskan perniagaan dalam tempoh yang sukar ini.

Bagi individu yang kurang terkesan seperti kakitangan kerajaan dan sektor-sektor tidak terjejas, wajarlah menjenguk jiran tetangga, saudara mara, rakan taulan dan kenalan.

Andai ada dalam kalangan mereka yang terkesan, bantulah sekadar termampu. Sekurang-kurangnya untuk memastikan dapur mereka terus berasap. Bagi memastikan ada makanan untuk disuap ke mulut anak-anak.

Konsep kita jaga kita ini sudah diajar oleh Rasulullah sekian lama. Antaranya baginda sangat menganjurkan memberi makan kepada orang yang memerlukan.

Dalam satu hadis, Nabi ditanya oleh seorang sahabat tentang amalan terbaik dalam Islam, lalu Baginda bersabda supaya memberi makanan dan menyampaikan salam kepada orang yang dikenali atau tidak. (Bukhari dan Muslim).

Mengambil pengajaran sempena sambutan maulid tahun ini, sewajarnya segenap lapisan masyarakat mempertingkatkan tahap kepekaan dalam komuniti untuk saling bantu membantu, khususnya ketika menempuh tempoh sukar ini.

Jika kita betul-betul menyintai Nabi seperti yang diulang setiap kali sambutan maulid, sewajarnya tidak ada jiran tetangga yang kelaparan, tidak ada anak-anak ke sekolah dengan poket kosong, tidak ada kenalan menangis di penghujung malam dihambat resah yang tidak sudah.

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Yusri Ibrahim ialah pensyarah di Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN