Bubar Parlimen, bukan darurat - Utusan Malaysia

Bubar Parlimen, bukan darurat

AKMAL HISHAM ABDUL RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin sewajarnya mencadangkan pembubaran Parlimen jika Perdana Menteri tidak yakin terhadap sokongan majoriti yang diperolehnya di Dewan Rakyat.

Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Maran (UiTM) Raub, Akmal Hisham Abdul Rahim berkata, jika tidak mendapat sokongan majoriti, maka Perdana Menteri perlu meletak jawatan dan menyerahkan kepada ahli Parlimen yang memperoleh majoriti.

“Bila jadi isu darurat ini, kita dapati bahawa seakan-akan Perdana Menteri tidak yakin dengan majoriti yang beliau ada. Apakah survival untuk terus berkuasa? Gunakan darurat dan mengaitkannya dengan Covid-19.

“Pandemik ini jika diuruskan dengan polisi yang baik dan jelas, kita mampu mengatasinya. Model seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah polisi yang baik untuk menangani Covid-19.

“Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) pun sudah memadai atau kita boleh memperbaiki akta sedia ada. Rakyat selama ini mengikuti segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan kita pernah mencatatkan sifar kes beberapa hari,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Muhyiddin meluangkan masa kira-kira dua jam 30 minit menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdul Aziz, Kuantan selepas Kabinet dikatakan bersetuju dengan pelaksanaan darurat bagi menangani Covid-19.

Akmal Hisham berkata, tidak ada istilah darurat politik, kesihatan atau lain-lain dan dalam Perlembagaan Persekutuan pun ada dinyatakan tentang darurat dan ia sah.

“Rakyat boleh merasai dan tahu bila darurat digunakan. Namun darurat yang ingin dilakukan kali ini jelas untuk pihak mereka terus berkuasa.

“Yang terbaik, bubar Parlimen atau jika tidak mahu bubar, lantik mana-mana ahli Parlimen yang mendapat majoriti ahli Parlimen,” katanya.

Beliau menegaskan, negara dan rakyat mempunyai pilihan terbaik menerusi pelaksanaan sistem demokrasi yang diamalkan Malaysia.

“Peralihan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan Langkah Sheraton menunjukkan bahawa demokrasi di Malaysia teruji dan proses pertukaran kerajaan (parti politik) berlaku dengan aman,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya