GEORGE TOWN : Kedudukan kewangan Pulau Pinang menunjukkan perkembangan positif apabila rizab negeri dalam Akaun Hasil Disatukan kini meningkat kepada RM616 juta setakat lima bulan pertama tahun ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, peningkatan itu sekali gus menepis dakwaan bahawa rizab tunai negeri semakin menyusut sehingga berada dalam keadaan defisit.
Menurut beliau, pihak yang membuat dakwaan berkenaan seharusnya merujuk kepada data dan kedudukan kewangan terkini sebelum membuat sebarang kesimpulan.
“Minta orang yang buat dakwaan itu semak kedudukan terkinilah. Kita memantau dengan rapi. Boleh dikatakan daripada jangkaan merosot sehingga RM50 juta, tetapi ia tidak berlaku.
“Pada tahun 2025, kita menikmati satu lebihan yang amat memberangsangkan dan bagi tahun 2026, dalam tempoh lima bulan pertama walaupun tahun kewangan belum berakhir, kita sudah mendapati rizab daripada Akaun Hasil Disatukan meningkat lebih RM600 juta,” katanya selepas sesi ‘walkabout’ di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih, hari ini.
Kon Yeow berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa rizab tunai Pulau Pinang menyusut pada tahun 2024 sehingga menyebabkan defisit.
Kon Yeow berkata, sebelum ini terdapat jangkaan rizab negeri akan merosot, namun, situasi tersebut tidak berlaku seperti yang diramalkan selepas prestasi kewangan negeri menunjukkan peningkatan yang lebih baik daripada jangkaan hasil pengurusan kewangan yang teliti.
Beliau berkata, walaupun tahun kewangan 2026 masih belum berakhir, pencapaian dalam tempoh lima bulan pertama sudah menunjukkan trend peningkatan yang positif dan peningkatan itu didorong oleh pertumbuhan hasil yang berjaya dikumpulkan menerusi Akaun Hasil Disatukan negeri.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus meneliti sumber hasil yang berpotensi bagi memastikan kedudukan kewangan negeri terus kukuh pada masa hadapan. – UTUSAN










