SAMA seperti kebanyakan negara membangun, Malaysia masih membenarkan sisa terawat dari pelbagai sumber tertentu dilepaskan terus ke dalam sumber air seperti sungai. Kebenaran dari segi undang-undang ini termasuklah pelbagai sumber pencemaran bertitik (point source pollution) seperti kilang dan pusat rawatan kumbahan.
Persoalannya, berapa ketat kawalan dan pemantauan pelepasan sisa tersebut? Bagaimana pula apabila terjadi kegagalan sistem atau insiden pelepasan tidak terkawal? Apakah setiap premis yang diberi kebenaran tersebut patuh? Soalan lebih penting, apakah setiap fasiliti berkenaan dilengkapi dengan pertahanan akhir sekiranya berlaku kegagalan pada sistem?
Menjawab persoalan ini, beberapa perkara perlu dipandang dengan lebih serius. Mengapa perkara ini tidak dapat dibendung, malah menjadi rutin tahunan untuk rakyat menerima impak akibat ketidakpedulian sesetengah pihak?
Ini membawa kita kepada satu persoalan yang lebih penting, adakah penalti yang dikenakan terhadap pesalah alam sekitar terlalu ringan sehingga mereka tidak serik untuk mengulanginya?
Adakah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang menjadi sumber kuasa perundangan kepada pesalah alam sekitar ini tidak cukup mantap? Di manakah silapnya sehingga pesalah alam sekitar tidak gentar membuat kesalahan yang sama?
UNDANG-UNDANG
Berdasarkan undang-undang dan peraturan alam sekitar, pesalah akan dikenakan penalti berbeza bergantung kepada jenis keingkaran atau ketidakpatuhan kepada piawaian dan garis panduan yang ditetapkan.
Mereka boleh dikenakan tindakan sekatan pentadbiran (arahan henti kerja, kompaun, penutupan sementara atau permit digantung/ditarik), hukuman kriminal (denda atau penjara atau kedua-duanya) atau hukuman sivil (penalti berbentuk bayaran, tindakan pembersihan atau keperluan tindakan restorasi kerosakan alam sekitar yang terjejas).
Walaupun pelbagai jenis penalti dan hukuman menanti, ia seakan-akan tidak digeruni malah dipandang mudah kerana sabitan kesalahan berkaitan isu alam sekitar mengambil masa yang agak lama sebelum diputuskan.
Seperti umum ketahui, Malaysia ditadbir oleh tiga aras pentadbiran iaitu Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan. Namun begitu, apabila berlaku isu alam sekitar, ia melibatkan pertindihan bidang kuasa. Sebagai contoh, bekalan air negara dikawal selia Persekutuan manakala sumber air itu sendiri di bawah bidang kuasa negeri.
Malah terdapat juga bidang kuasa bertindih seperti perlindungan alam sekitar berkaitan pencemaran dan perlindungan hidupan liar jatuh dalam bidang kuasa kedua-dua Persekutuan dan negeri.
Oleh kerana jurang atau pertindihan bidang kuasa ini, kes pencemaran alam sekitar memerlukan masa lebih lama untuk diputuskan kerana tiada rujukan khusus dalam perundangan yang boleh digunakan, selain proses penyediaan bahan bukti yang sangat rumit dan mencabar.
Acapkali, kes berkaitan isu alam sekitar sukar dicabar disebabkan kekurangan bahan bukti di mahkamah. Bagaimanapun, terdapat juga undang-undang negeri yang memandang serius isu alam sekitar seperti Enakmen Perlindungan Alam Sekitar Sabah 2002 selain agensi tertentu yang membantu mengawal selia seperti Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999.
LEPAS TANGAN
Di Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar mempunyai kuasa khusus berdasarkan peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 termasuk mengeluarkan arahan, garis panduan dan perintah.
Oleh kerana hampir kesemua aktiviti perindustrian atau pembangunan yang boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar memerlukan lesen khas, timbul persoalan lain, adakah pihak industri tidak berasa khuatir jika lesen beroperasi mereka ditarik balik atau digantung sekiranya mereka gagal mematuhi piawaian ditetapkan? Atau adakah mereka mempunyai mekanisme lain untuk mengelak daripada dikesan? Setiap persoalan ini mungkin tidak perlu ditanya jika kesemua pihak jelas peranan dan tanggungjawab masing-masing.
Disebabkan sikap lepas tangan atau tidak peduli segelintir pihak ini, menyebabkan isu pencemaran air tidak dapat ditangani. Selain terdapat keperluan mendesak bagi mengetatkan dan menguatkuasakan kawalan bagi setiap premis berlesen, perhatian sama turut diperlukan untuk pengusaha dan pemilik ladang atau perusahaan tanah kecil-kecilan kerana pencemaran sungai turut disumbang oleh pelbagai sumber ini, malahan ia lebih sukar dikesan dan dikawal.
Ini termasuk sisa sampah sarap yang turut berpotensi disumbang oleh setiap orang dalam kalangan kita. Pencemaran daripada sumber tidak bertitik ini sukar dibendung serta sukar untuk disabitkan kerana boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja tanpa mengira usia.
Belum timbul kegerunan untuk membuang sampah merata-rata dalam kalangan rakyat marhaen kerana tiada penalti dikenakan. Lebih membimbangkan, tiada siapa peduli!
Apa yang dikhuatirkan, kita bergantung kepada sumber yang sama (sungai) untuk kegunaan harian, malah kita juga menyumbang sama ke arah pencemaran sumber ini tanpa kita sedari.
Adakah ia berbaloi untuk memusnahkan kelestarian sumber ini dan adakah kita dapat menjanjikan sumber yang lebih baik untuk generasi akan datang?
Jawapannya terletak pada setiap orang kerana tanpa kesedaran, komitmen dan tanggungjawab, tidak hairan jika suatu hari nanti kita akan kehilangan sumber ini sepenuhnya.
PROFESOR Madya Dr. Nor Rohaizah Jamil ialah Ketua Jabatan Alam Sekitar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM).










