Bekas kontraktor mengaku tak salah tipu warga emas - Utusan Malaysia

Bekas kontraktor mengaku tak salah tipu warga emas

Soh Kee Hui dibawa Mahkamah Majistret Klang kerana didakwa menipu seorang warga emas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang bekas kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan menipu seorang warga emas dengan menawarkan hadiah sebuah kenderaan Toyota Vios Ogos lalu.

Tertuduh Soh Kee Hui,41, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Roslizi Sulaiman selepas pertuduhan dibacakan juru bahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu R.S. Matthias Sebastian berusia 79 tahun dengan memperdayanya untuk mempercayai menghadiahkan kereta Toyota Vios.

Dorongan tertuduh menyebabkan mangsa menyerah kad kredit miliknya dan mengeluarkan wang RM8,000.

Mengikut pertuduhan, Kee Hui, peniaga dalam talian didakwa melakukan perbuatan di sebuah bank di Jalan Kapar pada 10 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun dan dengan sebat dan juga boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar menawarkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Sivaraj Retinasekharan mewakili tertuduh memohon  jaminan dikurangkan berikutan anak guamnya tidak mempunyai kerja sejak Mac lalu dan hanya menjalankan perniagaan dalam talian untuk menyara isteri, adik bongsu dan seorang pak cik.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 8 Disember hadapan.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan seorang bekas banduan yang menyamar sebagai pengarah urusan pasar raya untuk menipu warga emas bahawa mereka memenangi peraduan termasuk kereta sebagai hadiah berakhir apabila lelaki itu ditahan baru-baru ini.

Suspek yang juga penganggur melakukan jenayah sejak Ogos lalu ditahan pukul 2 petang di kediamannya di Pelabuhan Klang.

Polis menerima 46 laporan di tujuh daerah antaranya Ampang Jaya, Klang Selatan, Klang Utara dan Petaling Jaya membabitkan kerugian RM456, 542.

Suspek juga mempunyai dua rekod jenayah iaitu pernah dipenjara tujuh tahun di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan pada 2008 dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya