Ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' diburu - Utusan Malaysia

Ahli perniagaan bergelar ‘Datuk Seri’ diburu

NIK ROS AZHAN NIK AB. HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan yang melarikan diri sebaik sahaja dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes pengubahan wang haram di Putrajaya, kelmarin diburu Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Suspek berusia 32 tahun itu didakwa mempunyai gelaran Datuk Seri palsu dipercayai melarikan diri dengan sebuah kenderaan yang menunggunya di luar pagar SPRM Putrajaya.

Difahamkan, suspek meloloskan diri dengan memanjat pagar di bahagian belakang bangunan tersebut ketika dalam proses untuk diserahkan kepada polis bersama tiga lelaki lain.

Dalam perkembangan sama, dua anggota polis berpangkat Koperal serta seorang lelaki menggunakan gelaran Datuk palsu yang dibebaskan SPRM selepas terlibat dalam pengubahan wang haram ditahan semula mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) semalam.

Dua anggota yang bertugas di bahagian siasatan jenayah Bukit Aman dan Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor itu ditahan bagi membantu siasatan mendalangi kegiatan perjudian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid ketika dihubungi Utusan Malaysia memberitahu, permohonan reman dibuat terhadap mereka bagi membolehkan siasatan di bawah POCA.

“Tiga lelaki tersebut ditahan bagi membantu siasatan judi dalam talian. Selain mereka, kita juga sedang memburu beberapa lagi individu untuk siasatan lanjut membabitkan kes sama,” katanya di sini semalam.

Utusan Malaysia kelmarin, melaporkan permohonan reman terhadap tiga individu yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi membantu siasatan membabitkan kegiatan judi dalam talian ditolak majistret.

Namun, ketiga-tiga mereka bagaimanapun ditahan semula bagi membantu siasatan berhubung kes judi di Cheras.

Difahamkan, kesemua tangkapan itu dipercayai bersekongkol dengan dalang judi odalam talian warga China yang mensasarkan rakyat negaranya sendiri. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN