fbpx

28 November 2020, 9:49 am

  TERKINI

6 warga Nepal jadi buruh paksa diselamatkan

ENAM rakyat Nepal yang disyaki dijadikan buruh paksa oleh majikan mereka diselamatkan oleh Jabatan Imigresen di Petaling Jaya, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen berjaya menyelamatkan enam lelaki rakyat Nepal yang disyaki dijadikan buruh paksa oleh majikan mereka di Petaling Jaya, Selangor.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, mangsa berusia antara 30 hingga 40 tahun itu bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Mereka dieksploitasi sebuah syarikat serta diselamatkan dalam satu operasi oleh Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA ibu pejabat Imigresen Putrajaya pada 27 Oktober,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pihaknya bertindak atas maklumat dan risikan sebelum melakukan pemeriksaan di sebuah premis kediaman yang dijadikan asrama penginapan pekerja warganegara asing.

Rumah itu ujar Khairul Dzaimee, dalam keadaan daif, sempit dan tidak selesa, malah hasil temubual mendapati, mangsa tidak bekerja selain tidak diberi gaji sudah lebih enam bulan.   

“Kumpulan tersebut bahkan mendakwa telah diabaikan oleh majikan dengan tiada sebarang bantuan bagi meneruskan kelangsungan hidup sepanjang tidak diberi gaji,” tambah beliau.

Beliau berkata, mangsa juga mendakwa pihak majikan enggan menemui mereka waima beberapa kali dihubungi dan kini kumpulan itu diberi perlindungan dengan ditempatkan di sebuah rumah perlindungan. 

Justeru, pemeriksasan turut dibuat di pejabat majikan dan beberapa dokumen telah dirampas serta wakil syarikat dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen bagi tujuan siasatan lanjut. 

“Semua mangsa menjalani saringan Covid-19 dan didapati negatif oleh Kementerian Kesihatan. Majikan dan pemilik syarikat itu telah dipanggil untuk beri keterangan,” kata Khairul Dzaimee.

Jelasnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 kerana kesalahan memperdagangkan sejumlah orang bagi maksud eksploitasi. 

Jika sabit kesalahan, beliau berkata, boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan didenda tidak lebih RM150,000.

“Pihak Imigresen menyeru orang ramai menyalurkan maklumat aktiviti menyalahi undang-undang,” katanya. -UTUSAN