44 warga polis Selangor jalani kuarantin kendiri - Utusan Malaysia

44 warga polis Selangor jalani kuarantin kendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 44 anggota dan pegawai polis yang bertugas di Kontinjen Selangor kini sedang menjalani kuaratin kendiri susulan terdedah dengan individu yang didapati positif Covid-19.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata, setakat ini, seorang anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dan isteri kepada anggota di IPD Kajang disahkan positif.

“Kita minta mereka yang ada kontak rapat dengan pesakit Covid-19 untuk kuarantin kendiri sebagai langkah memastikan rangkaian itu tidak merebak.

“Bagaimanapun, tiada keperluan untuk tutup IPD dan balai sebagaimana dibuat sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Serdang, di sini semalam.

Terdahulu beliau menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Daerah Serdang membabitkan Penolong Pengarah Kepolisan Am Bahagian Pengurusan Dasar/Sumber, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Asisten Komisioner Razali Abu Samah yang menggantikan Asisten Komisioner Ismadi Borhan.

Mengulas mengenai kekuatan polis di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) di Selangor, Noor Azam berkata, pihaknya mengerahkan seramai 60 anggota bagi setiap syif bagi memantau kawasan berkenaan.

“Kita sentiasa bersiap siaga dalam apa jua situasi seperti PKPD,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN