4 pegawai kanan polis lindungi sindiket penipuan Macau Scam, judi dalam talian - Utusan Malaysia

4 pegawai kanan polis lindungi sindiket penipuan Macau Scam, judi dalam talian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ‘Pejam mata’ dari mengambil sebarang tindakan undang-undang.

Itu yang dipercayai dilakukan kira-kira lapan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin dan semalam selepas dipercayai melindungi sin­diket peni­puan Ma­cau Scam dan judi dalam talian yang aktif sejak lima tahun lalu di ibu negara.

Kesemua mereka berusia 30 sehingga 57 tahun masing-ma­sing berpangkat Asisten Komisioner, Superintenden, Deputi Superinten­den, Inspektor, Sarjan dan Koperal yang bertugas di Lembah Klang ditahan dalam operasi SPRM itu.

Penahanan suspek dilakukan selepas siasatan dilakukan SPRM terhadap lapan individu termasuk seorang Datuk dan Datuk Seri yang merupakan ahli sindiket tersebut minggu lalu.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, SPRM turut me­nemukan sejumlah wang tunai bernilai RM100,000 pada salah seorang pegawai yang ditahan.

“Kesemua wang tunai tersebut dipercayai disimpan di pejabat dan rumah individu berkenaan.

“SPRM masih giat menjalankan siasatan ketika ini dan beberapa individu lain yang berada di dalam ‘radar’ akan diberkas dalam masa terdekat ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan dua pegawai kanan PDRM di Bukit Aman ditahan SPRM.

Acryl Sani memberitahu, la­poran lengkap berhubung penahanan berkenaan masih belum diperolehi pihaknya.

“Saya tidak boleh ulas kerana siasatan dijalankan SPRM,” katanya dalam sidang akhbar selepas perasmian seminar pe­ngukuhan siasatan jenayah ko­mersial dan pelancaran portal dan aplikasi semak mule di Maktab PDRM di sini semalam.

Dalam perkembangan sama Acryl Sani memberitahu, siasatan dalaman turut dilakukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) berhubung dakwaan sesetengah pihak di media sosial berhubung pembabitan pegawai polis dalam sindiket ‘cuci duit’ dikaitkan dengan perniagaan golongan artis sebelum ini.

Utusan Malaysia kelmarin mendedahkan, SPRM telah menyita 750 akaun bernilai RM75 juta milik ahli sindiket yang ditahan termasuk selebriti selain menyita 24 kenderaan mewah selepas lapan individu direman bagi membantu siasatan membabitkan kes pengubahan wang haram.

Laporan itu turut mendedahkan siasatan SPRM tidak menolak kemungkinan beberapa penguat kuasa akan ditahan kerana melindungi kegiatan mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN