1,200 anggota APM siap sedia hadapi banjir ketika Covid-19 - Utusan Malaysia

1,200 anggota APM siap sedia hadapi banjir ketika Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seramai 1,200 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di negeri ini bersiap sedia bagi menghadapi banjir dalam situasi pandemik Covid-19 pada monsun timur ini.

Pengarahnya, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub berkata, anggota APM terlibat telah menjalani latihan simulasi banjir ketika penularan Covid-19 melanda negeri ini.

Katanya, APM mempunyai prosedur operasi standard (SOP) ketat yang disediakan Agensi Pengurusan Bencana Negara menerusi (NADMA), selain panduan khas agensi itu bagi menghadapi bencana tersebut.

“Anggota APM terlatih dalam situasi ini dan mereka turut menjalani latihan simulasi banjir ketika menghadapi ancaman Covid-19,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Awang Askandar memberitahu, pengurusan bencana banjir pada musim ini lebih mencabar kerana penularan pandemik Covid-19.

“Keadaan ini meletakkan anggota dalam keadaan yang sentiasa berjaga-jaga dalam apa sahaja situasi,” ujarnya.

Beliau menambah, antara SOP yang ditetapkan anggota APM adalah perlu memakai peralatan pelindungan diri (PPE) jika keadaan memerlukan sewaktu operasi menyelamat.

“Untuk PPE ini juga ada cara khusus iaitu hanya pakai pelitup muka, sarung tangan, apron dan pelindung muka serta pada ketika tertentu perlu memakai set PPE penuh semasa operasi menyelamat nanti,” katanya.

Selain itu, katanya, APM Kedah bersiap sedia menghadapi banjir dengan kekuatan aset seperti 11 kenderaan pacuan empat roda, 14 buah lori, 14 ambulans dan 75 bot.

Jelasnya, antara di kawasan di negeri ini yang berisiko terjejas banjir ialah Kubang Pasu, Kota Setar, Yan, Kulim, Bandar Bandar dan Baling. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN